Tiada keperluan untuk membubarkan Barisan Nasional (BN) dengan MCA serta MIC kekal sebagai parti komponen di dalamnya.

Demikian penegasan yang dibuat Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Mohamad Hassan berkata.

Menurut beliau, tiada sebarang konsensus dibuat walaupun usul pembubaran BN dibuat Presiden MCA Wee Ka Siong semasa Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

"Mesyuarat tidak ada konsensus berkenaan dengan resolusi yang dibentang MCA untuk membubarkan BN, tetapi kita memandang, mengambil berat dan mengambil kira saranan dibuat bahawa suatu kajian, struktur jawatankuasa perlu dibuat untuk melihat cara kita menstruktur semula gerak kerja parti, untuk menyediakan parti berhadapan PRU ke15 nanti," katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini, pada Jumaat.

Selain Ka Siong, turut hadir, Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran.

Pada Isnin, MCA dan MIC mencadangkan supaya BN dibubarkan supaya kedua-dua parti itu boleh meneroka peluang pakatan politik baharu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan secara bersama oleh MCA dan MIC, kedua-dua parti menyatakan kekecewaannya dengan perkembangan semasa yang menyaksikan asas kesefahaman dalam BN tersebut tidak lagi dihormati.

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan, piagam BN menetapkan semua keputusan melibatkan parti perlu dilakukan secara konsensus, tidak boleh secara unilateral dan dipersetujui ketiga-tiga parti.

Bagaimanapun, jelas Mohamad, ketiga-ketiga parti bersetuju dengan resolusi MCA supaya BN diselaraskan semula mengikut kehendak semasa.

Katanya, jawatankuasa teknikal akan ditubuhkan secepat mungkin bagi meneliti perkara tersebut.

Pada mesyuarat itu, isu kerjasama UMNO dan Pas turut dibentangkan dan mendapat sokongan penuh MCA dan MIC.