KUALA LUMPUR: Tidak ada salahnya Ketua Penerangan UMNO menggunakan jentera bagi mempertahankan parti, termasuk Perdana Menteri, kata Ketua Jabatan Komunikasi Strategik Penerangan UMNO Malaysia (Pumas), Muhamad Iqbal Jamal Jamaludin.

Beliau, yang juga Ketua Pemuda UMNO Ipoh Barat, berkata rekod menunjukkan Shahril Hamdan, banyak mempertahankan parti dan pimpinan daripada serangan pihak luar.

Malah, kata Iqbal Jamal lagi, Shahril yang juga Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, turut mempertahankan Presiden UMNO sendiri iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini.

“Sebagai contoh apabila tular klip audio pada tahun lepas mirip presiden dan pemimpin pembangkang, Ketua Penerangan antara yang pertama mempertahankan presiden dan jentera Penerangan juga sama.

"PRN Johor baru-baru ini, video demi video yang dikeluarkan menerangkan isu rakyat oleh Ketua Penerangan.

“Kedua, Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) ialah Naib Presiden UMNO. Kalau Penerangan beri liputan media tentang isu atau dasar kerajaan kepada akar umbi, apa salahnya?,” soal Iqbal Jamal lagi.

BACA: Shamsul Anuar mungkin kembali jadi Ketua Penerangan UMNO ganti Shahril Hamdan - Sumber

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada artikel Astro AWANI sebelum ini bahawa Shahril berkemungkinan besar akan digantikan.

Menurut sumber, beberapa nama telah disenarai pendek untuk menggantikan Shahril yang telah memegang jawatan Ketua Penerangan sejak Mac, 2020 itu.

Sumber berkenaan berkata, antara yang nama yang berpotensi untuk menggantikan Shahril ialah Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

Mengulas lanjut, Iqbal Jamal mengakui presiden parti mempunyai hak untuk melantik dan menggugurkan mana-mana individu.

"Jika benar, beliau yang akan maklumkan. Bukan sumber-sumber yang bisik-bisik, semata-mata mahu sensasikan atau melagakan dengan tujuan memecahkan parti dari dalam,” katanya lagi.