KUALA LUMPUR: Struktur pimpinan kanan UMNO bakal menyaksikan beberapa perubahan khususnya bagi jawatan Ketua Penerangan parti.

Menurut sumber, beberapa nama telah disenarai pendek untuk menggantikan Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Shahril Hamdan yang telah memegang jawatan Ketua Penerangan sejak Mac, 2020 itu.

BACA: Ahmad Maslan Setiausaha Agung, Shahril Hamdan Ketua Penerangan UMNO baharu

Sumber berkenaan berkata, antara yang nama yang berpotensi untuk menggantikan Shahril ialah Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

“Shahril dilihat bergerak bukan atas dasar Ketua Penerangan, tetapi sebagai pegawai Perdana Menteri (PM) yang bekerja untuk PM dan bukannya untuk parti.

"Dalam erti kata lain, beliau menggunakan jentera Penerangan untuk Perdana Menteri dan bukan untuk parti,” menurut sumber itu lagi.

Shamsul, yang juga bekas Menteri Tenaga dan Sumber pernah menggalas jawatan Ketua Penerangan selepas UMNO dan Barisan Nasional tewas pada Pilihan Raya Umum 2018.

Buat masa ini Astro AWANI sedang berusaha mendapatkan maklum balas daripada Shahril, yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO.