KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa kerajaan dan pembangkang supaya berunding untuk mewujudkan undang-undang yang menjamin peruntukan saksama.

Menurut BERSIH dalam satu kenyataan, pihaknya menyatakan rasa kesal apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim langsung tidak menyatakan bahawa peruntukan pembangunan kawasan (CDF) diberi kepada Ahli Parlimen pembangkang dalam pembentangan Belanjawan 2023.

“Perkara ini dikesali kerana Perdana Menteri terlepas peluang untuk menunjukkan sisi reformisnya dan bagaimana Malaysia Madani akan dilihat," menurut Jawatankuasa Pemandu BERSIH.

Tambah BERSIH, Perikatan Nasional (PN) melalui 74 Ahli Parlimen mewakili 4.6 juta pengundi atau 30 peratus daripada jumlah pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Justeru, tindakan ‘menahan’ peruntukan kawasan dikatakan tidak menghormati pilihan dan hak pengundi.

“CDF telah lama digunakan oleh kerajaan sebagai alat politik untuk menghukum pembangkang dan 'membulurkan' mereka daripada peruntukan yang diperlukan dengan tujuan rakyat akan menolak wakil rakyat pembangkang.

“Peruntukan CDF di kawasan pembangkang sebaliknya disalurkan kepada penyelaras yang tidak dipilih oleh rakyat daripada parti kerajaan (biasanya bakal calon untuk pilihan raya akan datang) bagi meraih sokongan,” kata kenyataan itu.

Malah, BERSIH berkata, taktik sedemikian pernah digunakan untuk “menggoda” wakil rakyat pembangkang untuk melompat parti sebagaimana yang berlaku pasca pilihan raya pada 2018 sehingga Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani pada 2021, dengan keadaan itu masih berterusan di Sabah.

“Siapapun yang benar-benar membenci Langkah Sheraton, mereka sepatutnya membenci diskriminasi peruntukan CDF terhadap pembangkang, bukan menjerit ketika menjadi mangsa tetapi kemudiannya melakukan perkara yang sama apabila berkuasa.

“Oleh sebab kebanyakan parti di Parlimen, sama ada PH, BN, GPS, Warisan yang berada di pihak kerajaan, atau PN sebagai pembangkang – telah menjadi mangsa dan pemangsa, sudah tiba masanya rundingan damai merentasi parti politik bagi menetapkan peraturan persaingan yang adil antara kerajaan dan pembangkang, agar sama ada kerajaan atau pembangkang tidak dinafikan dengan cara tidak demokratik,” tegas BERSIH.