KUALA TERENGGANU: UMNO belum membuat keputusan berhubung kerjasama Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai bersama Pas.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini tiada sebarang mesyuarat berhubung perkara itu dilakukan.

“Belum ada meeting (pertemuan) lagi jadi tidak ada mesyuarat jadi saya pun tidak boleh memberikan jawapan, kita pun tak tahu,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Jawatankuasa UMNO Bahagian Empat Peringkat Negeri Terengganu di sebuah resort hari ini.

Terdahulu Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kedudukan dan status kerjasama UMNO-Pas dalam MN akan dimuktamadkan selepas meneliti semua pandangan pimpinan parti di pelbagai peringkat.

Beliau berkata ketika ini, pelbagai kenyataan berhubung status UMNO dalam MN yang dizahirkan pemimpin tertentu, disifatkannya sebagai hanya pandangan individu.

Sementara itu ketika mengulas berhubung  pelantikan Dr Kamarul Zaman Yusoff sebagai pegawai khasnya Ismail Sabri yakin beliau dapat menjalankan tugasnya dengan baik berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang ada.

“Dia seorang  yang berpengalaman dari segi kepakaran dalam bidang yang kita bagi dia sebagai pegawai khas media bahagian dasar dan saya percaya dia boleh melaksanakan.

“Timbul isu daripada parti lain jadi saya memilih orang yang saya fikirkan layak kalau parti lain memikirkan tidak layak tidak bermakna saya akan mengikut apa yang disebut parti lain jadi kita telah buat penilaian. Itu saya ambil dia,” katanya.

Terdahulu beberapa portal mencetuskan isu mengenai pelantikan Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia itu sebagai pegawai khas Perdana Menteri, walaupun beliau telah memegang jawatan itu sejak Disember tahun lepas.