KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) kekal komited dan serius dalam melaksanakan peranan serta tanggungjawabnya dalam Kerajaan Persekutuan sehingga akhir penggal Parlimen.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata komitmen dan kesungguhan BN dalam menjayakan sesuatu perkara bukan sesuatu yang boleh diberikan atau ditarik balik secara semberono.
"Lebih-lebih lagi persetujuan dan komitmen BN untuk bersama-sama menjayakan pembentukan Kerajaan Persekutuan ini adalah dibuat atas kesedaran untuk memberikan kestabilan politik dalam negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata walaupun BN bertanding menentang Pakatan Harapan (PH) dan PKR dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini, BN tidak menjadikan keputusan di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan sebagai alasan untuk menarik balik komitmen yang telah diberikan.
"Perbezaan pentadbiran di peringkat negeri tidak menghalang kerjasama yang baik di peringkat Persekutuan. Ini adalah struktur dan realiti yang unik tentang negara kita," katanya.
Beliau berkata BN melihat Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sebagai satu titik perubahan atau keputusan yang perlu diuruskan apabila tiba masanya kelak, bukannya dengan mengubah komitmen sedia ada dalam kerjasama bersama PH di peringkat Persekutuan.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Kongres Nasional PKR 2026 menegaskan bahawa parti itu akan terus bekerjasama dengan BN dan UMNO di peringkat Persekutuan bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran rakyat.
-- BERNAMA