Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak gusar dengan keserasian PAS dan UMNO dalam kerjasama politik mereka, kerana ia hanya berjaya di peringkat kecil seperti pilihan raya kecil untuk Dewan Undangan Negeri dan Parlimen sahaja.

Jelas Pengerusi Pakatan Harapan itu, kerjasama itu akan mula menimbulkan masalah pada peringkat lebih tinggi seperti pilihan raya umum.

"Ya mereka boleh kerjasama dalam pilihan raya kecil, kerana menang kalah tak penting...tapi dalam pilihan raya umum, dia tak boleh kerjasama.

"Kalau dia (UMNO dan Pas) kerjasama, Pas tak dapat apa,” katanya kepada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Landskap Negara di Taman Botani, di sini hari ini.

Semalam Barisan Nasional (BN) berjaya merampas semula kerusi tradisinya di Semenyih apabila calonnya Zakaria Hanafi mendapat 19,780 undian.

Zakaria berjaya mendapat 1,914 undi majoriti mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH) yang mendapat sebanyak 17,866 undian dalam pertarungan sengit itu.

Dua lagi calon, Kuan Chee Heng (Bebas) sekadar meraih 725 undi manakala calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nik Aziz Afiq Abdul menerima 847 undi.



Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, serangan bertali arus yang dibuat ke atas PAS adalah berlandaskan fakta yang jelas.

“Kita cakap benda benar. Dia umpama Hadi (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang) datang jumpa saya, dia kata nak sokong saya. Dia kata ketua-ketua PAS tak akan kempen, tapi hari penamaan pun ketua PAS ada. Dia janji dengan saya ni apa dia?

“Lepas tu berkenaan dia bayar duit RM1.4 juta. Dia saman malu terhadap wanita ini (Clare Rewcastle Brown). Lepas tu dia dapati bahawa dia mungkin tak menang, jadi dia nak selesai dengan cara private... out of court arrangement.

“Dan untuk ini orang Pas yang bayar duit, Kita ada bukti. Takkan kita nak sembunyi bukti jelas,” katanya lagi.