KUALA LUMPUR : Sejak UMNO hilang kuasa dan tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, pelbagai usaha dibuat untuk melemahkan malah menghancurkan parti itu dengan pelbagai cara.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usaha tersebut termasuklah untuk mengharamkan parti itu dengan mengeksploitasi 16 bekas ahli, menggunakan alasan UMNO melanggar Perlembagaannya kerana menangguhkan pemilihan parti.

Tegasnya, usaha melemahkan UMNO masih berterusan termasuk menggunakan pendekatan ‘pisau, pen dan buku cek’ bagi memecah-belahkan UMNO.

“Tidak cukup dengan tindakan mahkamah terhadap parti, diugut pula pimpinan UMNO untuk membubarkan parti jika tidak mahu didakwa dan diambil tindakan dalam pelbagai bentuk.


 
Sumber Facebook drasyrafwajdidusuki


“Hakikatnya, ramai pemimpin-pemimpin UMNO diugut, ditekan dan digasak dengan menggunakan pelbagai agensi-agensi di bawah Kerajaan PH waktu itu.

“Ahli yang punya ketahanan terus kekal setia mempertahankan parti biarpun menjadi lilin membakar diri,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau pada Isnin.

Begitupun, beliau tidak menafikan ada juga yang ‘cuak’, gelabah dan tidak tahan diuji lantas membuat keputusan untuk keluar meninggalkan parti.

BACA: Kiri kanan musuh menyerang, tetapi pemimpin UMNO degil, tidak akan mengalah - Zahid Hamidi

BACA: Mahu selamatkan UMNO? Ketepikan pemimpin ada dakwaan mahkamah - Musa Hitam

Bahkan, mereka tergamak pula menikam parti yang pernah mengangkat dan meletakkan mereka di posisi tertinggi lagi dihormati.

“Alhamdulillah UMNO masih dipelihara Allah kerana terus mampu bertahan dan tetap utuh hingga saat ini. Kekuatan dan keutuhan sebenar UMNO terletak kepada keikhlasan akar umbi.

“Akar umbi yang merupakan rangkaian 3.5 juta ahli UMNO di 191 Bahagian dan lebih 22,000 cawangan seluruh Malaysia yang ikhlas dan terus setia berjuang mempertahankan wadah biarpun ada di kalangan pemimpin yang mudah gelabah dan lari meninggalkan parti,” katanya.



Politik | Memahami dinamika UMNO dan Bersatu


Tegasnya, UMNO tidak harus dipersalahkan kerana tewas dalam PRU14 sebaliknya kekalahan itu angkara segelintir pemimpin dan ahli yang lupa diri, lupa daratan dan lupa akar perjuangan.

Sementra itu, dalam status sama, Asyraf Wajdi turut menitipkan nasihat buat semua ahli UMNO:

BACA: Tiada krisis dalam UMNO - Mahadzir Khalid

BACA: UMNO, Bersatu perlu muafakat demi masa depan - Rais Yatim

“Setiap yang berlaku ada hikmahnya! Kini setiap warga pejuang UMNO tidak boleh lagi melakukan kesilapan yang sama.

“Jangan angkuh, jangan sombong untuk terus muhasabah, berubah dan lakukan koreksi. Jangan menari mengikut lagu dendangan musuh yang sentiasa khianat mendengki. Jangan biarkan kita mudah dipermain dan dimanipulasi.

“Utamakan kesatuan dan solidariti. Jangan cepat percaya dengan cerita-cerita sensasi yang hanya mencetuskan prasangka dan persepsi. Pertahankan tradisi dan institusi parti,” tegasnya.