BAGAN DATUK:Majlis Tertinggi UMNO akan membincangkan pada Rabu usul penolakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diputuskan oleh mesyuarat perwakilan UMNO bahagian di seluruh negara.

Penolakan kerjasama itu pada awalnya dibuat melalui satu kajian dalam kumpulan WhatsApp ketua bahagian-ketua bahagian UMNO seluruh negara.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berkata, melalui kajian awal, 143 bahagian UMNO menyatakan tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum akan datang. 

“Sebagai Presiden UMNO, saya menghormati jika 143 Ketua Bahagian itu yang kemudiannya menyatakan usul itu cara rasmi di peringkat perwakilan bahagian.

"Ertinya itu adalah merupakan usul yang harus dikaji dan diterima oleh UMNO Malaysia.

“Pada 6 Januari ini, akan diadakan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Malaysia dan hasil perjumpaan berdasarkan pada usul-usul tadi akan diperbincangkan di peringkat Majlis Tertinggi dan saya harap keputusan akan dibuat di dalam Majlis Tertinggi itu dan harus diterima sebagai keputusan parti,” jelasnya.

Beliau ditemui selepas mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk pada Ahad.

Menurutnya, keputusan parti itu perlu dipatuhi oleh Ahli Majlis Tertinggi dan Ahli Parlimen, sama ada mereka berada di dalam kerajaan atau sebagai Ahli Parlimen biasa.

Setakat ini UMNO mempunyai 38 Ahli Parlimen, termasuk 11 orang Menteri penuh di samping beberapa Pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

BACA: UMNO mahu PRU15 disegerakan - Zahid 

BACA: UMNO jangan pilih jalan merugikan, ulang kesilapan lampau - Hishammuddin