Skip to main content

Malaysia

F1 meriahkan kalendar sukan Malaysia pada awal Oktober

SEPANG, 1 Okt -- Perlumbaan pusingan ke-15 Grand Prix F1 Sepang 2017 bermula di Litar Antarabangsa Sepang hari ini. --fotoBERNAMA
SIC menjadi tuan rumah GP Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu dikeluarkan daripada kalendar F1 susulan peningkatan kos penganjuran dan fi pelesenan. - Gambar fail/ Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Peminat sukan di Malaysia bakal disajikan dengan kemeriahan acara sukan pada awal Oktober apabila tiga acara utama, iaitu Formula Satu (F1), Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 dan Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026 akan berlangsung dalam tempoh seminggu.

Tumpuan pastinya terarah kepada F1, dengan kejohanan sukan permotoran paling berprestij di dunia itu kembali ke Malaysia selepas sembilan tahun, di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2 Okt hingga 4 Okt.

Acara itu, yang dikenali sebagai F1 Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air, dijangka menarik ribuan peminat dan pelawat antarabangsa, sekali gus mengembalikan keterujaan terhadap perlumbaan berkenaan di Malaysia selepas kali terakhir diadakan di SIC pada 2017.

Pada Ahad, Malaysia disahkan sebagai tuan rumah GP Bahrain susulan perjanjian yang dimeterai antara F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Bagaimanapun, acara berkenaan tertakluk pada pemeteraian perjanjian akhir serta kelulusan rasmi daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia.

Perjanjian itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan dibatalkan awal musim ini berikutan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

SIC menjadi tuan rumah GP Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu dikeluarkan daripada kalendar F1 susulan peningkatan kos penganjuran dan fi pelesenan.

Keterujaan itu terus disemarakkan dengan penganjuran LTdL 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 27 Sept hingga 4 Okt.

Sebagai antara perlumbaan berbasikal paling berprestij di Asia, edisi ke-30 LTdL akan disertai 20 pasukan yang terdiri daripada WorldTeams, ProTeams, Continental Teams dan skuad kebangsaan.

LTdL 2026 akan merentasi lapan negeri di Semenanjung Malaysia melibatkan jarak keseluruhan 1,258.5 kilometer (km) dan menampilkan pendakian ikonik di Gunung Jerai, Kedah buat kali pertama pada peringkat kedua perlumbaan.

Perlumbaan akan bermula pada 27 Sept melibatkan laluan Shah Alam–Kampar (193.0 km) diikuti Taiping–Gunung Jerai pada 28 Sept (145.6 km); Sungai Petani–Kuala Kangsar pada 29 Sept (189.9 km); Meru Raya–Cameron Highlands, 30 Sept (140.1 km); Tapah–Genting Highlands, 1 Okt (125.7 km); Pandan Indah–Rembau, 2 Okt (121.3 km); Melaka–Batu Pahat, 3 Okt (159.1 km) dan Muar–Putrajaya, 4 Okt (183.8 km).

Turut menambah kemeriahan ialah KLSCM 2026, acara larian lebuh raya tahunan utama negara, yang akan diadakan dari 3–4 Okt dan dijangka menghimpunkan puluhan ribu pelari dari Malaysia serta luar negara.

Pertembungan tiga acara utama itu dijangka mewujudkan antara hujung minggu sukan paling sibuk dalam sejarah negara kebelakangan ini, apabila peminat sukan permotoran, berbasikal dan larian masing-masing berpeluang menyaksikan acara bertaraf dunia itu.

Jadual padat itu juga bakal merancakkan sektor pelancongan sukan Malaysia dengan peningkatan kehadiran pelawat dijangka memberikan manfaat kepada industri perhotelan, restoran, pengendali pengangkutan dan perniagaan berkaitan pelancongan.

Walaupun keterujaan semakin memuncak, orang ramai dinasihatkan supaya bersedia menghadapi penutupan sementara jalan raya dan lencongan trafik, khususnya di Lembah Klang, apabila pihak berkuasa membuat persiapan bagi memastikan kelancaran penganjuran ketiga-tiga acara sukan utama itu.

Bagi peminat sukan, minggu pertama Oktober menjanjikan sambutan luar biasa dengan aksi bertaraf dunia yang berlangsung di litar perlumbaan, lebuh raya dan jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement