SEPANG: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menyasarkan peniaga tempatan menjana pendapatan keseluruhan kira-kira RM200,000 sepanjang penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 menerusi penyediaan ruang niaga di semua lokasi pertandingan di daerah itu.
Yang Dipertua MPSepang, Dr Ani Ahmad berkata, pihaknya telah menempatkan peniaga pada setiap venue SUKMA bagi membolehkan 30 usahawan tempatan memanfaatkan kehadiran atlet, pegawai dan penyokong dari seluruh negara.
Beliau berkata, sebanyak 15 peniaga sementara ditempatkan di Universiti Putra Malaysia (UPM), lapan trak makanan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), dua trak makanan di Stadium Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) dan lima trak makanan di Velodrom Nasional Malaysia.
"Anggaran keseluruhan pendapatan peniaga sepanjang SUKMA berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos adalah kira-kira RM200,000," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas Himpunan Mega Sukarelawan SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 yang dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Ani berkata, inisiatif itu bukan sahaja merancakkan aktiviti ekonomi setempat, malah memberikan limpahan manfaat kepada usahawan kecil serta mengukuhkan Sepang sebagai destinasi penganjuran sukan dan pelancongan.
"Kehadiran atlet, pegawai dan penyokong dari seluruh negara akan meningkatkan aktiviti ekonomi setempat serta memperkenalkan Sepang sebagai destinasi sukan dan pelancongan yang berdaya saing," katanya.
Beliau berkata, persiapan bagi menjadikan Sepang sebagai antara lokasi utama SUKMA 2026 kini berada pada peringkat akhir dengan semua aspek termasuk venue pertandingan, logistik, kebersihan, keselamatan dan penyelarasan bersama Sekretariat SUKMA serta agensi berkaitan telah diperkemaskan.
"Antara fokus utama ialah menaik taraf kemudahan sukan dan infrastruktur sokongan termasuk padang, trek, sistem pencahayaan, tandas awam, laluan pejalan kaki, parkir serta kemudahan Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya.
Selain itu, Ani berkata, kerja-kerja menceriakan kawasan sekitar venue turut dilaksanakan bagi memastikan imej Sepang sentiasa bersih, selesa dan kondusif sepanjang SUKMA berlangsung.
Beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sekretariat SUKMA dan agensi berkaitan bagi merancang pelan pengurusan trafik serta pengangkutan, termasuk laluan masuk dan keluar venue, kawasan parkir, papan tanda arah dan kawalan lalu lintas.
Mengulas legasi SUKMA 2026, Ani berkata, temasya itu diharap meninggalkan kemudahan sukan yang lebih berkualiti, meningkatkan budaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat serta mengukuhkan imej Sepang sebagai bandar yang mampu menganjurkan kejohanan bertaraf nasional.
Beliau berkata, MPSepang juga menyasarkan Sepang muncul sebagai hab sukan yang moden dan berdaya saing menerusi penganjuran kejohanan secara berterusan, penyediaan kemudahan sukan berkualiti dan pembangunan bakat pada peringkat akar umbi.
Sepang akan menjadi tuan rumah enam acara SUKMA 2026, iaitu bola sepak lelaki di Stadium BBST, olahraga di Stadium UPM, pencak silat di Dewan Sri Sarjana UNITEN, memanah di Stadium Institut Penilaian Negara (INSPEN), berbasikal lebuh raya di Persiaran Pantai Utara Sepang Putra dan berbasikal trek di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai.
-- BERNAMA