KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima AS$7.6 juta (kira-kira RM35 juta) daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menerusi Program Pembangunan "FIFA Forward" dari 2016 hingga 2022.

Menurut laporan FIFA Forward Global mengenai aktiviti pembangunan yang dikeluarkan badan induk bola sepak dunia itu hari ini, ia berjumlah 78.6 peratus daripada jumlah keseluruhan AS$9.9 juta bagi Malaysia.

Laporan itu menyatakan AS$2.5 juta telah dibelanjakan untuk pentadbiran dan tadbir urus manakala AS$1.6 juta disalurkan untuk infrastruktur dan AS$1.3 juta bagi pertandingan dalam dua kitaran pertama program antara 2016-2022.

Inisiatif bola sepak wanita menerima AS$0.7 juta diikuti perbelanjaan operasi bola sepak yang tidak digunakan/bola sepak (AS$0.7 juta), pembangunan kapasiti (US$0.4 juta), peralatan dan lain-lain (AS$0.2 juta) dan pasukan kebangsaan (AS$0.2 juta).

"FAM menjalin kerjasama dengan Program FIFA Forward memastikan pemain bola sepak negara mendapat kemudahan latihan terbaik di ibu pejabat FAM (Wisma FAM). Lebih US$560,000 dana FIFA Forward telah digunakan untuk pemasangan padang rumput, menaik taraf lampu limpah dan menyediakan bangku untuk pemain dan pegawai.

"Kerja-kerja ini bermula pada 2019 dan siap tepat pada masanya untuk pasukan B-15 lelaki Malaysia menguji permukaan rumput baharu pada Julai tahun itu serta lampu pencahayaan tinggi juga telah siap," menurut laporan berkenaan.

FIFA berkata ia telah meluluskan lapan projek di Malaysia dengan lebih AS$2.1 juta dibelanjakan.

Menurut laporan itu, FIFA menetapkan kira-kira AS$2.8 bilion pelaburan dalam 211 persatuan anggotanya serta dalam konfederasi dan pelbagai persatuan zon/serantau, untuk meningkatkan pembangunan bola sepak di wilayah mereka di bawah program yang dilancarkan pada Mei 2016.

Kitaran seterusnya yang dikenali sebagai Forward 3.0 akan bermula Januari 2024 apabila FIFA berjanji untuk menyediakan sehingga AS$8 juta bagi setiap kitaran empat tahun.

-- BERNAMA