PEP GUARDIOLA memberi amaran kepada Manchester City bahawa Manchester United lebih daripada mampu untuk merampas kedudukan teratas liga dan menafikan peluang pasukannya di penghujung musim.

City berpeluang untuk mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris lebih awal pada Sabtu lalu ketika bertemu The Red Devils selepas meraih pendahuluan 2-0, namun tewas 3-2 susulan kebangkitan skuad kendalian Jose Mourinho itu dalam babak kedua.

Walaupun tewas, City hanya memerlukan dua kemenangan dalam enam aksi terakhir untuk memastikan trofi liga menjadi milik The Citizens sambil bergantung kepada keputusan yang diraih United.

Bagaimanapun, ketika sidang media menjelang aksi bertemu Tottenham Hotspur, bekas pengendali Barcelona itu mengingatkan tentang Real Madrid yang pernah tersungkur di saat-saat akhir dalam saingan 2003/04, di mana mereka melepaskan kelebihan lapan mata dan jatuh dari tangga pertama ke tangga keempat dalam 12 perlawanan terakhir.

"Perasaan saya menyifatkan United bakal meraih banyak mata kerana mereka kini dalam keadaan terbaik dan mempunyai pemain-pemain yang hebat. Mereka mampu mendapatkan kemenangan dalam semua aksi, jadi kami juga harus melakukannya," kata Guardiola.

"Bola sepak adalah tentang emosi. Sejak November, Disember, kami adalah juara. Apabila mendengar daripada pemerhati bola sepak, ia tampak sudah tamat dan mustahil tetapi dalam seminggu, kami tewas tiga perlawanan. Ia berlaku.

"Kami harus memenangi perlawanan dan mampu meraih enam mata selepas mengatasi tekanan sepanjang musim. Jika tidak, kami hanya boleh mengucapkan tahniah kepada United.

"Ia boleh berlaku. Real Madrid pernah tewas enam perlawanan berturut-turut dan terlepas kejuaraan liga. Mungkin saya tidak perlu bercakap tentang perkara ini tetapi ia boleh terjadi dan pemain-pemain menyedarinya. Segalanya terserah kepada kami," tambahnya.

Dalam masa sama, Guardiola menjelaskan City mengalu-alukan kedatangan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) walaupun banyak pasukan mengundi untuk tidak bersetuju, namun berharap penangguhan yang dijalankan mampu membuatkan kualiti penyelarasannya lebih baik.

"Saya rasa City bersetuju dengan VAR tetapi pasukan besar lain seperti United dan Chelsea tidak mahukannya, tidak mengapa.

"Pengadil perlu dibantu. Bola sepak kini semakin pantas. Sebelum ini barisan pertahanan sering tidak disusun dengan baik tetapi kini semua benteng tampak kukuh."