SUKAN
Jaringan awal Figueiredo bantu Harimau Malaya atasi Palestin 1-0

Antara babak menarik perlawanan. Pemain Harimau Malaya Rodrigo Julian Holgado (tengah) dikawal ketat tiga pemain Palestine pada pertemuan di Stadium Sultan Ibrahim Isnin malam. - Bernama
ISKANDAR PUTERI: Malaysia berjaya menundukkan pasukan dalam kelompok 100 terbaik dunia apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas Palestin pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam ini.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan penyerang Joao Figueiredo yang meledak buat kali ketiga berturut-turut bersama Harimau Malaya selepas menyempurnakan hantaran lintang leret Quentin Cheng dari sebelah kanan seawal minit ketiga.
Peluang keemasan sekali lagi hadir buat Figueiredo, namun percubaan jarak dekatnya tepat ke dakapan penjaga gol Palestin, Rami Hamada pada minit ke-24 sebelum rembatan Arif Aiman Mohd Hanapi tiga minit kemudian juga mudah dinafikan penjaga gol itu.
Palestin, pasukan ranking ke-98 dunia, berpeluang menyamakan kedudukan pada masa tambahan separuh masa kedua, tetapi sepakan percuma Wessam Abou Ali sekadar menggegarkan tiang gol sekali gus memastikan gawang Ahmad Syihan Hazmi Mohamed kekal tidak dibolosi sehingga wisel penamat.Kemenangan malam ini menyaksikan pasukan negara yang menghuni ranking ke-125 dunia, terus mengekalkan rekod tanpa kalah di bawah kendalian ketua jurulatih, Peter Cklamovski selepas beliau membimbing Malaysia melakar tiga kemenangan dan satu seri sebelum ini.
Perlawanan malam ini turut menyaksikan pemain warisan, Richard Chin membuat penampilan sulung bersama pasukan negara apabila dimasukkan pada minit ke-80 menggantikan Quentin Cheng.
Kali terakhir Malaysia menewaskan Palestin adalah pada 2001 menerusi kemenangan 4-3 dalam aksi Kumpulan Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2002 di Doha, Qatar.
Selepas ini, anak buah Cklamovski dijadual menyambung kempen Kumpulan F Pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di Vientiane pada 9 Okt sebelum melayani kunjungan lawan sama pada 14 Okt.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami