SPORTS
Kenapa Tengku Zafrul?

Tengku Zafrul dipilih menerajui BAM sebagai presiden ke-13 pada Mesyuarat Agung Tahunan untuk penggal 2025-2029. - Gambar fail/BERNAMA
PEMILIHAN Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu sebagai keputusan terbaik demi memperkasakan masa depan badminton negara.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, keputusan sebulat suara itu mengambil kira ketokohan Tengku Zafrul dalam bidang korporat dan kerajaan, sekali gus menjadikannya figura yang paling layak menerajui BAM.
“Kita perlukan seorang pemimpin yang mempunyai latar belakang dalam sektor korporat dan pada masa sama terlibat dalam struktur kerajaan.
“Tengku Zafrul ada kedua-duanya. Malah, ramai penaja BAM juga tidak asing lagi dengannya,” katanya.Tengku Zafrul dipilih menerajui BAM sebagai presiden ke-13 pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) untuk penggal 2025-2029.
Mohamad Norza turut menjelaskan bahawa badan induk itu dalam keadaan stabil dan bersedia menerima kepimpinan baharu yang mampu membawa idea segar dan nilai tambah.
“Sukan badminton kita sudah berada di satu tahap yang baik. Jadi dengan sokongan dua timbalan presiden berpengalaman, ia mampu bantu presiden baharu urus BAM dengan lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Norza juga menyerahkan tanggungjawab kepada Tengku Zafrul untuk mengenal pasti jurang yang wujud dalam sistem sedia di BAM bagi memastikan penambahbaikan dapat dilaksanakan serta merealisasikan hasrat meraih pingat emas Sukan Olimpik.
“Kita perlu kenal pasti jurang di mana kita berada dan ke mana kita mahu pergi. Jurang inilah yang perlu diisi oleh presiden baharu agar kita dapat memperkukuh pentadbiran semasa.
“Bagi meraih emas, kita perlukan anjakan paradigma dengan sasaran yang tepat dan atlet dalam program RTG mesti ada potensi pingat, bukan sekadar berada di kelompok sepuluh terbaik,” ujarnya.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri memohon tempoh 100 hari bagi menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) dan merangka pelan tindakan strategik bagi memastikan pengurusan BAM terus diperkasa serta misi pingat emas Sukan Olimpik dapat direalisasikan. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami