ANFIELD sudah hilang magis buat Liverpool?

Itu mungkin persoalan yang timbul dalam kalangan penyokong-penyokong Liverpool selepas gergasi Inggeris tersebut tumbang buat kali kedua berturut-turut di laman keramat The Reds dalam tempoh seminggu.

Pada Ahad, gol minit ke-14 pemain tengah Crystal Palace, Eberechi Eze menyaksikan Liverpool sekali lagi direbahkan 0-1 The Eagles asuhan Oliver Glasner di Anfield dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Anak buah Jurgen Klopp sebelum ini dibelasah kelab Serie A Itali, Atalanta, 3-0 dalam perlawanan suku akhir pertama Liga Europa pada 12 April lalu.

Kekalahan ketiga liga tersebut juga menyaksikan skuad asuhan Klopp berkenaan terlepas peluang kembali menerajui saingan yang kini diungguli penyandang juara Manchester City.

Keputusan terkini itu membolehkan The Reds kekal di kedudukan ketiga dengan 71 mata manakala The Citizens pula 32 mata selepas kedua-dua mengharungi 32 perlawanan liga.

Awal pagi Jumaat ini, Liverpool akan bertandang ke Stadium Gewiss, Bergamo, bagi perlawanan timbal balik kedua Liga Europa menentang Atalanta. - Sinar Harian