AKSI cemerlang ketika berdepan Korea Selatan pada Khamis menyaksikan pemain negara, Faisal Halim tersenarai dalam 11 pemain terbaik untuk perlawanan ketiga saingan Piala Asia 2023.

Menerusi laman Twitter rasmi kejohanan, hanya dua pemain Asia Tenggara tersenarai dalam kesebelasan itu dan seorang lagi adalah penjaga gol Thailand, Saranon Anuin.

Selain Faisal, turut membarisi kesebelasan itu ialah penjaring terbanyak kejohanan yang juga penyerang Iraq, Aymen Hussein.

Bahkan, pemain Selangor FC itu juga diletakkan sebaris dengan bintang terkemuka dunia termasuk pemain Korea Selatan dan Paris Saint Germain, Lee Kang In dan Mehdi Taremi dari Iran.

Antara nama lain yang tersenarai ialah pertahanan Arab Saudi, Abdullah Al Khaibari, pemain sayap Iraq, Ali Jasim dan penyerang Jepun, Ayase Ueda.

Perkembangan terbaharu itu pastinya menghadirkan kegembiraan berganda buat penyokong Harimau Malaya yang kebanyakannya masih lagi gembira dengan keputusan seri menentang Korea Selatan pada Khamis.

Pemerhatian Astro AWANI mendapati ciapan di laman sosial itu sudah mula dipenuhi komen daripada rakyat Malaysia.

Di sini, Astro AWANI sertakan ‘link’ untuk ciapan tersebut bagi membolehkan anda melihat kemeriahan komen rakyat Malaysia di sana.