SUKAN
'PSG bernasib baik menang ke atas Tottenham'

Aksi Luis Enrique meraikan kejayaan pasukannya memenangi Piala Super UEFA selepas PSG menewaskan Tottenham Hotspur di Stadium Bluenergy, Udine, Itali, 13 Ogos 2025. REUTERS
PENGENDALI Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique, mengakui Les Parisiens bernasib baik menjuarai Piala Super UEFA selepas menewaskan Tottenham Hotspur di Stadium Bluenergy, Udine, Itali.
Dalam perlawanan penuh dramatik itu, Spurs yang mendahului 2-0 sehingga minit ke-80 terpaksa akur apabila PSG bangkit menyamakan kedudukan 2-2 sebelum aksi ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti yang memihak kepada juara Ligue 1 tersebut.
Luis Enrique tidak berselindung bahawa kemenangan itu hadir dalam situasi sukar buat gergasi Ligue 1 Perancis berkenaan ketika berdepan The Lilywhites kendalian Thomas Frank.
“Sejujurnya, saya rasa kami tidak layak memenangi trofi ini. Perbezaan dapat dilihat jelas antara pasukan seperti Tottenham yang sudah enam minggu berlatih, berbanding kami yang baru enam hari memulakan latihan,” katanya keletihan.Tambahnya, PSG gagal mempamerkan corak permainan terbaik sepanjang 80 minit pertama, diburukkan lagi dengan hantaran-hantaran kurang kemas.
“Kami bernasib baik dapat menjaringkan dua gol dan membawa perlawanan ke penalti. Itulah bola sepak. Saat ini sangat berharga buat kami, dan saya gembira untuk penyokong yang sentiasa bersama, tidak berhenti menyanyi dan memberi sokongan, walaupun ketika kami ketinggalan,” ujar jurulatih dari Sepanyol itu.
Kemenangan ini menambah koleksi trofi antarabangsa PSG, namun Enrique menegaskan Les Parisiens masih memerlukan masa untuk mencapai tahap prestasi sebenar menjelang musim baharu Ligue 1.
PSG akan bertandang ke Stade de la Beaujoire, menentang Nantes bagi aksi liga pada Isnin. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami