KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan, niatnya ikhlas untuk menaja kos penanaman rumput baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), seperti diumumkan sebelum ini.

Katanya, bagaimanapun jika cadangan menggantikan rumput 'Cow Grass' kepada jenis 'Zeon Zoysia' itu tidak diterima Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), beliau tidak boleh berbuat apa-apa.

"Niat saya ikhlas utk membantu. Rumput Zoysia di Stadium Sultan Ibrahim sudah terbukti. Tetapi kalau tidak diterima, saya tidak boleh buat apa-apa.

"Saya juga akan melawat SNBJ pada 19 Mac. Saya akan kongsikan kos untuk padang baru, dan kos maintenance setahun tidak melebihi RM240,000," jelas Tunku Ismail dalam ciapan di Twitter, hari ini.

BACA: TMJ akan taja kos pertukaran rumput Zeon Zoysia di Stadium Nasional

BACA: Stadium Nasional: KBS hargai penajaan rumput TMJ, belum ada hitam putih

Semalam, Tunku Ismail menerusi kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers mengumumkan berhasrat menaja kos pertukaran rumput 'Cow Grass' kepada 'Zeon Zoysia', sama seperti digunakan di Stadium Sultan Ibrahim milik JDT di Iskandar Puteri, sebagai hadiah kepada skuad Harimau Malaya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dalam reaksinya, menghargai usaha Tunku Ismail itu.

Bagaimanapun, PSM dalam satu kenyataan pula, memaklumkan pihaknya masih belum membuat keputusan mengenai jenis rumput yang akan digunakan di SNBJ.

Difahamkan PSM masih menunggu laporan daripada sebuah universiti tempatan mengenai rumput yang paling baik boleh ditanam di stadium itu dan akan membuat keputusan berdasarkan kajian saintifik daripada pakar runding.