KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan bahawa semua aspek akan dipertimbangkan sebelum keputusan berhubung tawaran untuk Malaysia menjadi tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026 dimuktamadkan.

Menterinya Hannah Yeoh berkata isu berkenaan akan dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat Kabinet Jumaat ini.

"Seperti dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kertas (cadangan) akan dibentangkan dalam mesyuarat kabinet minggu ini, dan kita memang mengambil perspektif daripada semua pihak yang telah menghubungi, yang telah menulis dalam media sosial, dan (kita) telah baca semuanya.

"... kita umumkan keputusan itu nanti selepas kabinet berbincang. Perdana Menteri baru balik dari lawatan di Jerman dan dalam mesyuarat kabinet minggu ini, kita pasti akan ada perbincangan panjang mengenai perkara ini untuk pastikan kita liputi semua aspek," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 di Majlis Sukan Negara di sini hari ini.

Hannah bagaimanapun menjangka pengumuman keputusan itu mungkin mengambil masa sekiranya maklumat tambahan diperlukan dalam pertimbangan tawaran berkenaan.

Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan Malaysia untuk menjadi tuan rumah temasya itu bagi menggantikan Victoria, Australia yang menarik diri tahun lepas, di samping turut menawarkan suntikan dana 100 juta pound (RM602 juta) kepada Malaysia yang pernah menjadi tuan rumah pada tahun 1998.

Victoria menarik diri kerana peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (kira-kira RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).

Sementara itu mengenai kedudukan beregu badminton lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dalam projek 'Road To Gold' (RTG) yang mempamerkan prestasi kurang memberangsangkan kebelakangan ini, Hannah berkata keputusan itu akan dibuat bersama jawatankuasa RTG.

"Jawatankuasa RTG yang akan umumkan kerana RTG ini memang untuk yang akan layak dan punya harapan untuk dapatkan emas (di Sukan Olimpik)," katanya.



SUKAN-KOMANWEL (HANNAH) 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR



Yew Sin-Ee Yi kini berada di tangga ke-13 dalam ranking 'Race to Paris', dan mengikut format Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebuah negara boleh mempunyai dua wakil dalam acara beregu di Sukan Olimpik namun pasangan itu haruslah berada dalam kelompok lapan terbaik dalam ranking kelayakan ke Paris.

Hannah turut melahirkan harapan agar beregu utama lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang muncul naib juara All England 2024 semalam dan kini berada di ranking kelima 'Race to Paris', bebas daripada kecederaan.

"Aaron-Wooi Yik memang fokus dalam RTG dan kita lihat pencapaian (baik) semalam, tetapi saya lihat paling penting dari sekarang hingga Olimpik adalah untuk pastikan mereka tidak dapat kecederaan baharu. Jadi untuk atlet-atlet kita, yang paling utama sekarang ialah mereka mesti berhati-hati, jangan cedera," katanya.

Dalam aksi final All England 2024 di Utilita Arena Birmingham itu, Aaron-Wooi Yik terpaksa akur dengan kehebatan pasangan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto yang berjaya mempertahankan kejuaraan untuk muncul juara dua tahun berturut-turut dengan kemenangan 21-16, 21-16.

Pencapaian bergelar naib juara menyaksikan pilihan kelima kejohanan itu terus kempunan meraih gelaran kejohanan badminton tertua dunia tersebut, selepas tewas kepada bekas juara dunia tiga kali dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-11, 14-21, 12-21 pada perlawanan akhir edisi 2019.

-- BERNAMA