Bumiputera yang terdiri daripada 67 peratus penduduk negara ini mesti memiliki budaya keusahawanan untuk menjayakan cita-cita Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.

"Kita tidak boleh jadi negara maju kalau teras bangsanya tidak menjadi bangsa usahawan," kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan kepada Bernama di sini.

Beliau berkata kalau dilihat secara teliti, bangsa yang maju di seluruh dunia merupakan bangsa yang menerapkan semangat keusahawanan dalam masyarakat, dan bangsa Cina di negara ini boleh dijadikan contoh.

"Oleh sebab Bumiputera merupakan majoriti, kumpulan ini patut ditolong supaya tidak terus ketinggalan serta meninggalkan kesan psikologi yang mendalam," katanya.

Ahmad diminta mengulas pengumuman dasar-dasar bagi meningkatkan lagi penglibatan Bumiputera dalam ekonomi negara, Sabtu ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Agong Tuanku, UiTM, Shah Alam, Selangor dari pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Beliau berkata majlis akan dimulakan dengan forum membincangkan cara untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera dengan Perdana Menteri mengumumkan dasar mengenai ekuiti, hartanah dan modal insan.

Matlamat utama kerajaan adalah untuk membangunkan Bumiputera supaya mereka dapat maju ke hadapan dan mampu bersaing di dalam dan di luar negara, selain memiliki budaya usahawan yang kuat.

"Usaha ini diambil memandangkan masih terdapat Bumiputera yang ketinggalan dari pelbagai sudut walaupun kejayaan lain sudah di kecapi.

"Ini adalah satu perkara yang menarik dan sangat dinanti-nantikan oleh Bumiputera di seluruh negara dan di setiap peringkat meliputi golongan pendapatan tinggi, sederhana, rendah di bandar dan luar bandar," katanya.

Ahmad, yang juga Ketua Penerangan UMNO, berkata beliau menyifatkan pengumuman ini sebagai 'hadiah' kepada Bumiputera yang menjadi punca kemenangan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei.

Beliau berkata Najib selaku ketua parti dan kerajaan, telah menyatakan dengan tegas bahawa mereka yang memberikan sokongan telah memberikan pengharapan dan kerajaan tidak akan mensia-siakan pengharapan itu.

"Bumiputera wajar diberi bantuan dan yang lebih penting bantuan itu diberikan tanpa kita menarik bantuan daripada yang tidak menyokong," katanya.