Skip to main content

Hiburan

BTS boikot Grammy, bantah kategori baharu muzik pop Asia

BTS
Ia merupakan kali pertama BTS mengambil keputusan untuk tidak menyertai proses pencalonan Grammy. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

LOS ANGELES: Kumpulan K-pop terkenal, BTS, mengumumkan tidak akan menghantar sebarang pencalonan untuk dipertimbangkan pada Anugerah Grammy Ke-69 yang dijadual berlangsung pada Februari 2027.

Keputusan itu dibuat sebagai tanda bantahan terhadap kategori baharu Persembahan Muzik Pop Asia Terbaik yang diperkenalkan oleh Recording Academy.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik secara berasingan oleh setiap anggota kumpulan di Instagram, BTS berkata muzik seharusnya dinilai berdasarkan kualitinya dan bukannya dibezakan mengikut wilayah atau bahasa.

"Kami memutuskan untuk tidak menyertai Grammy tahun ini. Kami berharap muzik dapat didengari dan dihargai kerana nilainya sendiri, bukan dipisahkan mengikut rantau atau bahasa," menurut kenyataan itu.

Kategori baharu yang diumumkan pada 16 Jun lalu merangkumi karya muzik pop dari Korea Selatan, Jepun, China dan negara Asia lain, termasuk K-pop, J-pop serta C-pop yang menggunakan satu atau lebih bahasa Asia.

Ia merupakan kali pertama BTS mengambil keputusan untuk tidak menyertai proses pencalonan Grammy.

Ketua Pegawai Eksekutif Recording Academy, Harvey Mason Jr., menyifatkan keputusan BTS sebagai mengecewakan, namun beliau menghormati pendirian kumpulan tersebut.

Menurutnya, kategori Pop Asia diwujudkan bagi mengiktiraf kepelbagaian serta perkembangan pesat muzik pop Asia di peringkat global, bukannya untuk meminggirkan artis daripada kategori utama.

Beliau turut menegaskan artis yang dicalonkan dalam kategori Pop Asia masih layak dipertimbangkan dalam kategori utama seperti Rakaman Terbaik Tahun Ini, Album Terbaik Tahun Ini dan Lagu Terbaik Tahun Ini.

BTS sebelum ini kembali aktif menerusi album ARIRANG yang dilancarkan pada Mac lalu selepas semua anggotanya menamatkan perkhidmatan ketenteraan wajib.

Album itu mencatat kejayaan besar apabila menduduki tangga teratas carta Billboard 200 selama dua minggu berturut-turut, sekali gus mencipta rekod baharu bagi artis K-pop.

Kumpulan yang dianggotai RM, Jin, Suga, J-Hope, Jimin, V dan Jungkook itu turut memenangi anugerah Artis Terbaik Tahun Ini pada Anugerah Muzik Amerika (AMA) pada Mei lalu.
 

 

Must Watch Video

Advertisement