Muat naik video ugutan ke atas Mahkamah Negara di akaun YouTube 'Isis Malaysia 69' hari ini telah mengundang pelbagai reaksi oleh pengguna media sosial.

Empat individu anarkis mengugut untuk mengadakan bantahan dengan menyerang mahkamah seluruh Malaysia menggunakan mercun pada hari Rabu ini, jam 11.30 malam sebagai tanda protes.

Mereka bertindak demikian kerana mendakwa tidak lagi mempercayai sistem demokrasi negara.


Warga media sosial walaubagaimanapun tidak menganggap video itu sebagai satu ancaman serius. Malah ada yang menanggap empat individu tersebut hanya cuba mencari perhatian.



Pada rakaman sepanjang satu minit dua saat itu, empat individu anarkis berkenaan dilihat turut memegang potret seorang wanita yang menyerupai pelakon, Nora Danish.

Susulan itu, pelakon berkenaan telah membuat laporan polis dan menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa.


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam reaksinya berkata polis akan menyiasat kumpulan yang terlibat dengan video itu.

Menurut beliau, sesiapa yang cuba menggugat keamanan dan ketenteraman akan menerima padahnya.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu cubaan melakukan sesuatu aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.