Insentif Pengeluaran Getah dinaikkan kepada RM5.10 daripada RM4.60 sekilogram bagi getah SMR 20 FOB berkuat kuasa bulan ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata insentif untuk getah buku turut dinaikkan kepada RM2.00 sekilogram.

Semakan semula itu diluluskan Kabinet pada 26 Ogos lepas, katanya selepas melawat projek penanaman getah blok di Kampung Stabut, Siburan dekat sini hari ini.

Beliau berkata semakan semula itu juga memberi manfaat kepada 300,388 pekebun kecil dari 206 kawasan Parlimen di seluruh negara.

Uggah berkata dengan kadar baharu itu, pendapatan pekebun kecil tidak akan jatuh di bawah paras kemiskinan jika harga getah merosot.

"Kami berharap semakan semula itu akan mendorong pekebun kecil untuk terus menoreh getah, bukannya berhenti, kerana ia kes biasa apabila harga jatuh," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pekebun kecil getah di Semenanjung mendaftar dengan Lembaga Getah Malaysia, manakala pekebun kecil getah di Sabah dan Sarawak, masing-masing dengan Lembaga Industri Getah Sabah dan Jabatan Pertanian Sarawak untuk membolehkan mereka mendapat kad untuk menuntut insentif tersebut.

Mengenai pengeluaran getah, katanya kerajaan berusaha untuk mencapai pengeluaran tahunan tidak kurang daripada 700,000 tan metrik untuk mengurangkan import komoditi tersebut.

"Tahun lepas, kami mengimport 905,039 tan metrik getah asli bernilai RM5.83 bilion untuk menyokong industri hiliran kita, terutamanya sarung tangan getah," katanya.

Uggah berkata industri getah menyumbang RM30.61 bilion kepada pendapatan kasar negara pada tahun lepas, manakala eksport bernilai RM23.6 bilion.