Kerajaan yakin pengunduran Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama kelak tidak akan menyebabkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) berkecai, ujar Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ia berikutan Amerika Syarikat merupakan negara dagangan kedua terbesar di dunia dan TPP sangat penting untuk ekonomi mereka terutama bagi sektor perniagaan.

"Malah kerajaan Amerika Syarikat juga sedang berusaha keras untuk memastikan ratifikasi TPP terlaksana. Sehubungan itu, Wakil Dagangan Amerika Syarikat (USTR) sedang berusaha untuk memaklumkan kepada kongres akan usaha dan tindakan yang sedang dilaksanakan oleh negara-negara TPP yang lain termasuk Malaysia untuk memenuhi obligasi mereka di bawah TPPA," katanya melalui jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tambahnya, pihak USTR telah melawat Malaysia sebanyak tiga kali bagi tahun ini pada April, Jun dan September.

"Kebiasaannya Kongres Amerika Syarikat akan bersidang selepas Pilihan Raya Presiden. Namun bagi pilihan raya kali ini, pentadbiran Amerika Syarikat dijangka akan membentangkan perjanjian TPP untuk urusan kongres sewaktu sesi lame duck pada November 2016," ujarnya.

Katanya, TPPA hanya akan berkuatkuasa apabila kesemua negara anggota meratifikasi perjanjian tersebut dalam tempoh 24 bulan dari tarikh perjanjian tersebut ditandatangani.

"Sekiranya ini tidak tercapai, perjanjian ini masih berkuat kuasa apabila sekurang-kurangnya enam negara yang menyumbang 85 peratus daripada KDNK 12 negara TPPA meratifikasikan perjanjian tersebut," tambahnya.