Serangan paling dahsyat dalam kempen pilihan raya Pakistan terjadi pada Jumaat, menerusi dua insiden yang mengorbankan sekurang-kurangnya 132 orang, termasuk seorang calon.

Kejadian berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat, susulan kepulangan bekas Perdana Menteri Nawaz Sharif yang telah digulingkan, menjelang pilihan raya pada 25 Julai.

Di bandar Mastung di Baluchistan, barat daya Pakistan, seorang pengebom bunuh diri membunuh 128 orang, termasuk ahli politik Siraj Raisani yang akan bertanding pilihan raya.

Terdahulu dari itu di bandar Bannu, empat lagi terbunuh dalam satu insiden tunjuk perasaan.

Serangan berlaku beberapa jam sebelum Nawaz pulang dari London, bersama anak perempuannya Maryam, untuk berdepan hukuman penjara 10 tahun atas tuduhan rasuah, menurut pihak berkuasa anti rasuah negara itu.

Maryam sementara itu turut berdepan tujuh tahun penjara.

Nawaz Sharif dan Maryam ketika dalam pesawat sebelum penerbangan menuju ke Lahore di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi, UAE, 13 Julai 2018. REUTERS

Nawaz telah ditahan untuk menjalani hukuman tetapi beliau dijangka memfailkan rayuan dan memohon ikat jamin.

Kumpulan Daesh mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan itu dalam satu kenyataan yang dibuat menerusi agensi berita Aamaq.

Awal minggu ini pada Selasa, seorang pengebom membunuh diri pada satu perhimpunan di bandar Peshawar, mengorbankan 20 orang termasuk Haroon Bilour yang turut dijangka bertanding.