JAWATANKUASA Antarabangsa Palang Merah (ICRC) meningkatkan respons di kawasan yang paling terkesan dalam memerangi wabak COVID-19.

Pengurus Perhubungan Delegasi ICRC di Bangkok, Dibeh Fakhr berkata, bantunan tersebut diberikan khusus kepada kawasan yang miskin dan berdepan dengan konflik.

Dibeh berkata, ICRC memberikan fokus kepada golongan penghuni penjara di Kemboja, Laos, Vietnam dan Thailand.

Menurut Dibeh, pihaknya telah memberikan nasihat kepada pihak berkuasa tempatan dalam menyediakan satu sistem yang komprehensif di penjara bagi melindungi penghuni di situ daripada wabak COVID-19.


“Di Kemboja pada minggu lepas, kami melatih kakitangan yang bekerja di penjara untuk mempraktikkan langkah-langkah tersebut.

“Di Thailand pula, kami berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk memberikan nasihat mengenai langkah-langkah pencegahan yang boleh dilaksanakan di penjara bagi mengelakkan penyebaran virus.

“Dalam kes tertentu, kami juga menyediakan peralatan perubatan yang diperlukan seperti kit kebersihan dan kit perlindungan di penjara,” kata Dibeh ketika berlintas langsung dalam Buletin Astro AWANI pada Jumaat.

Dalam pada itu, Dibeh juga mendedahkan ICRC kini cuba menghulurkan bantuan kepada pusat rehabilitasi pemulihan fizikal dan juga sektor pengurusan jenazah pesakit akibat COVID-19.