Dua kapal tangki milik Tanzania terbakar di Laut Hitam, mengakibatkan sekurang-kurangnya 14 kelasi maut manakala lima lagi hilang, menurut pihak berkuasa Rusia pada Isnin.

Agensi Persekutuan Laut Dan Pengangkutan Sungai Rusia melaporkan kejadian berlaku ketika proses mengepam bahan api sedang dilakukan dari sebuah kapal tangki ke kapal tangki lain.

Agensi berita Rusia yang memetik Agensi Maritim Persekutuan melaporkan 31 anak kapal yang terdiri daripada warga Turki dan India daripada dua buah kapal tangki tersebut sedang bertugas ketika kejadian.

Kebakaran terjadi ketika dua kapal itu, Maestro dan Candy, sedang berlabuh berdekatan Selat Kerch, yang menghubungkan Laut Hitam dan Laut Azov.

Operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan turut melibatkan dua aset milik tentera laut Rusia.