SEORANG juruterbang dirakam sedang tidur ketika menerbangkan pesawat komersial.

Juruterbang China Airlines itu yang juga kapten pesawat dirakam melakukan kesalahan oleh juruterbang bersama yang duduk di sebelahnya.

Rakaman berdurasi 30 saat itu menunjukkan juruterbang Boeing 747 itu tunduk dengan matanya tertutup ketika pesawat sedang terbang, lapor portal Daily Mail.

Kapten pesawat yang dikenal pasti sebagai Weng Jiaqi itu merupakan juruterbang kanan dengan hampir 20 tahun pengalaman bersama syarikat penerbangan Taiwan itu, menurut laporan media tempatan.

Weng berdepan pertuduhan mengabaikan prosedur keselamatan penerbangan dan dilapor telah menerima hukuman setimpal.

Selain Weng, juruterbang bersama yang merakam video berkenaan diberi amaran setelah didapati gagal mematuhi peraturan.

Menurut peraturan penerbangan, juruterbang yang keletihan ketika bertugas boleh melelapkan mata tetapi perlu memaklumkannya kepada rakan setugas selain berada jauh dari instrumen kawalan pesawat.