Berita  | Dunia

Kejam! Cekik, penggal kepala isteri

Kejam! Cekik, penggal kepala isteri
Perbuatan kejam itu dilakukan oleh Satish, 35, ke atas isterinya, Roopa, 25, setelah dikatakan berkahwin enam tahun atas dasar cinta.
CHIKKAMAGALURU, India: Seorang suami tergamak memenggal kepala isterinya kerana mendakwa wanita itu curang kepadanya.

Perbuatan kejam itu dilakukan oleh Satish, 35, ke atas isterinya, Roopa, 25, setelah dikatakan berkahwin enam tahun atas dasar cinta.

Satish turut membawa kepala isterinya sejauh 20 kilometer yang disimpan dalam plastik hitam ke balai polis Ajjampura setelah mencekik dan memenggal kepala mangsa menggunakan sebilah parang.

"Pada mulanya, tiada sesiapa mempercayainya, tetapi setelah dia membuka beg ternyata terdapat kepala wanita di dalamnya.

"Dia meminta segelas air kerana letih dan dahaga. Setelah minum, dia berkata ingin menyerah diri dan memberitahu  bagaimana dia melakukan jenayah tersebut," kata jurucakap polis.

Difahamkan, rumah tangga mereka mula bermasalah sejak tujuh bulan lalu apabila isteri membuat aduan kepada polis bahawa suaminya itu tidak memberikan wang untuk perbelanjaan rumah dan dua anak mereka.

BACA: Kalah permainan video, remaja nekad penggal kepala dengan gergaji

BACA: Nenek dipenggal dengan pedang samurai, kepala dibuang ke sungai

Menceritakan kejadian pada Ahad lalu, pasangan tersebut sempat menikmati makan tengahari bersama di sebuah gerai.

Namun, Roopa beredar terlebih dahulu dengan memberi alasan mahu pulang ke rumah.

Selang beberapa minit, Satish menghubungi mangsa berulang kali namun isterinya tidak mengangkat panggilan mendorong dia mengesyaki sesuatu, lalu bergegas pulang ke rumah malangnya Roopa tiada.

Dia kemudian menjumpai isterinya sedang berbual dengan seorang pemuda berhampiran rumah mereka dan berang melihat perbuatan itu, Satish bertindak luar kawalan dengan mengambil sebilah parang cuba membunuh pemuda namun dihalang oleh Roopa.

Berang dengan tindakan isterinya, Satish terus mencekik Roopa dengan menggunakan sari yang dipakainya lalu memenggal kepala.

Pemuda berjaya melepaskan diri dengan mengalami beberapa kesan luka. - Times of India