Bandar Solo di Indonesia sebelum ini menyangka banyak perubahan baik boleh berlaku apabila menyediakan perkhidmatan internet tanpa wayar percuma di pejabat-pejabat pemerintah.

Begitupun, di kota yang pernah menyaksikan Presiden Joko Widodo menjadi Datuk Bandar itu, kini menyekat akses tersebut selepas banyak laporan mendapati saluran berkenaan digunakan untuk urusan jual beli dadah, menonton pronografi atau sindiket pelacuran atas talian.

Akses WiFi sekarang ini diputuskan dari jam 6 petang hingga 4 pagi, dengan harapan dapat mengurangkan pengguna yang berniat ‘jahat’ daripada menyalahgunakannya, lapor AFP.

Jam operasi yang dikurangkan itu juga adalah sebagai menyahut aduan golongan ibu bapa tentang anak-anak mereka yang merayau ke pejabat-pejabat pemerintah pada waktu malam untuk menggunakan internet percuma.

Gangguan perkhidmatan difahamkan telah berlangsung sejak beberapa bulan lalu, namun baru minggu ini diumumkan.

“WiFi percuma boleh disalah guna untuk sindiket pelacuran atas talian. Itu yang kami boleh sahkan setakat ini,” ujar pegawai dari Jabatan Maklumat dan Komunikasi Solo, Taufan Redina.

Tambahnya, urusan jual beli narkotik dan beberapa transaksi meragukan juga dikenal pasti.

Begitupun, masih belum jelas tentang kaedah yang digunakan pihak berkuasa tempatan dalam mengenal pasti jenis aktiviti pengguna akses WiFi.

Pornografi adalah diharamkan di Indonesia, walaupun begitu sistem saringan internet belum berjaya menutup kesemua laman web lucah di negara itu.

Pelacuran juga bertentangan dengan undang-undang, dan bagi kesalahan berkaitan dadah, pihak pemerintah republik tersebut mengenakan hukuman berat termasuk hukuman mati.