MELAKA: Kegiatan sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah antarabangsa yang dipercayai menjadikan Pantai Klebang sebagai transit, tumpas selepas enam lelaki ditahan bersama rampasan dadah bernilai RM4.02 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata suspek yang terdiri daripada lima lelaki warga tempatan dan seorang pemastautin tetap berusia antara 40 dan 74 tahun itu masing-masing ditahan dalam tiga serbuan di sekitar Melaka, Johor dan Pahang pada 21 Feb lepas.

"Dalam serbuan pertama, suspek ditahan di kawasan Kota Syahbandar ketika sedang memindahkan dadah ke dalam sebuah kenderaan lain dan polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 51.95 kilogram (kg) dan serbuk ekstasi seberat 31.45kg bernilai RM4.02 juta.

"Dalam serbuan kedua polis menahan tiga suspek di Simpang Renggam, Johor manakala serbuan ketiga berjaya menahan dua suspek lelaki di Genting Highlands, Pahang dan hasil siasatan mendapati dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan seramai 365,000 penagih," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Menurut beliau modus operandi sindiket tersebut adalah menggunakan jalan darat bagi menyeludup dadah masuk dari negara jiran di utara dan akan diedarkan ke Indonesia melalui jalan laut dan kesemua suspek yang merupakan penganggur itu mempunyai peranan tersendiri sebagai dalang utama, koordinator dan runner (penghantar dadah).

"Kami percaya sindiket ini mula aktif sejak pertengahan 2023 dan kami juga sedang menyiasat sekiranya masih ada rakan edar yang masih bebas serta penglibatan pihak-pihak lain dan polis tidak menolak Pantai Klebang dijadikan transit oleh sindiket ini sebagai jalan keluar dadah ke Dumai, Indonesia," katanya.

Mohd Kamarudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dengan lima suspek direman selama lima hari manakala seorang lagi selama tujuh hari, bermula 21 Feb bagi membantu siasatan.

"Saringan awal mendapati dua suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala empat lagi negatif dadah.

"Semakan rekod jenayah turut mendapati lima suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Polis juga menyita pelbagai aset sindiket termasuk dua kenderaan dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM103,000," katanya.

-- BERNAMA