Selepas sepanjang minggu menyesakkan nafas dan membawa risiko kesihatan kepada warganya, kualiti udara di ibu negara Thailand menunjukkan perubahan positif.

Udara di sekitar bandar raya Bangkok sejak 24 jam lalu dicatatkan bebas daripada partikel toksik, namun langkah-langkah untuk menangani masalah jerebu terus dijalankan, lapor Bangkok Post.

Mengikut bacaan terbaru daripada Jabatan Kawalan Pencemaran Thailand pada Isnin, paras selamat itu ditentukan menerusi takat debu berbahaya yang di bawah 50 mikrogram bagi setiap meter kubik udara.

Jabatan itu juga memberitahu, pesawat-pesawat dari Pusat Penerbangan Bangkok telah membuat 11 penerbangan untuk menyemburkan air di ruang udara di kawasan terjejas di Bangkok seperti Bang Kae, Bang Bon, Thawi Watthana dan Taling Chan.

Secara keseluruhan, 50 kawasan di Bangkok telah dibersihkan pada malam Ahad.

Sumber rasmi menjelaskan, corak tiupan angin juga membantu mengalihkan udara yang tercemar daripada terus menyelubungi kota itu.

Minggu lalu, keadaan jerebu di Bangkok telah mencetuskan rasa bimbang orang ramai, khususnya mwreka yang mendakwa mengalami pelbagai masalah kesihatan teruk, manakala pihak kerajaan sudahpun mengarahkan lebih 400 buah sekolah ditutup sementara.

BACA: Jerebu teruk di Bangkok: Penduduk batuk, bersin berdarah