Tutup

Berita  | Dunia

Lion Air beri penjelasan selepas dua hari khidmat penerbangan lumpuh

Lion Air beri penjelasan selepas dua hari khidmat penerbangan lumpuh
Lion Air dilaporkan telah meminta maaf kepada semua penumpang atas ketidakselesaan yang mereka alami. - Gambar Fail
JAKARTA: Setelah resah selama dua hari, ratusan penumpang penerbangan Lion Air yang terkandas akhirnya mendapat penjelasan rasmi daripada syarikat penerbangan tambang murah tempatan tersebut, lapor portal Kompas.com.

"Ada tiga pesawat kami yang mengalami masalah kerosakan akibat objek asing pada pagi Rabu lalu dan hal ini menjejaskan rentetan jadual penerbangan.
"Kerosakan pada pesawat-pesawat tersebut pula berlaku pada saat musim puncak cuti Tahun Baru Cina," kata Setiausaha Lion Air, Dwiyanto Akbar Hidayat berkaitan insiden penangguhan teruk di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Penangguhan tersebut turut memberi kesan kepada operasi sebuah lagi penerbangan tambang murah iaitu AirAsia Indonesia.
Lebih daripada itu, masalah tersebut telah melumpuhkan jadual penerbangan di banyak lapangan terbang utama negara itu termasuk di Yogyakarta, Surabaya, Batam, Palembang, Medan dan Denpasar, seterusnya menjejaskan penerbangan ke Kuala Lumpur, Singapura dan Bangkok.

Lion Air dilaporkan telah meminta maaf kepada semua penumpang atas ketidakselesaan yang mereka alami. Pada masa yang sama, syarikat tersebut turut patuh pada ketetapan membayar ganti rugi kepada penumpangnya termasuk bayaran balik penuh.

Bagi penumpang yang ingin meneruskan penerbangan, Lion Air sedang memeriksa lagi enam pesawatnya untuk membawa mereka ke destinasi. 

"Pada saat ini, kami sedang cuba menggunakan khidmat enam lagi pesawat namun kami memerlukan waktu untuk menyediakan dokumen penerbangan,” jelas Dwiyanto.