Penglibatan Malaysia di forum Perikatan Tamadun PBB (UNAOC) akan memberi peluang kepada negara untuk menyumbang kepada perbincangan menangani ekstremisme secara keseluruhannya.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar memberitahu, forum itu juga bagi mengukuhkan peranan Malaysia dalam menggalakkan keamanan dan kesejahteraan sejagat melalui pendekatan kesederhanaan.

"Ia tertumpu kepada empat bidang utama iaitu, pendidikan, media, migrasi dan belia.

"Usaha ini adalah selaras dengan pendirian Malaysia dalam mengetengahkan pendekatan konsep kesederhanaan sebagai pemangkin bagi memupuk persefahaman dan hormat di antara tamadun, agama dan budaya," jelas kenyataan itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Global UNAOC Ke-7 di Baku, Azerbaijan pada 25 sehingga 27 April 2016 di atas jemputan, Menteri Luar Negeri Republik Azerbaijan, Elmar Mammadyarov dan Wakil Tertinggi UNAOC, Nassir Abdulaziz Al-Nasser.

Malaysia telah menjadi ahli kepada Group of Friends UNAOC semenjak penubuhannya dan telah menyertai kesemua Forum Global UNAOC serta mesyuarat-mesyuarat UNAOC di peringkat pegawai kanan.

UNAOC ditubuhkan pada tahun 2005 atas inisiatif kerajaan Sepanyol dan Turki, di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Jelas kenyataan itu lagi, ia bertujuan untuk menggalakkan kefahaman antara kebudayaan yang lebih baik dan membendung ancaman yang menjadi punca kewujudan pengasingan, polarisasi dan ekstremisme dalam masyarakat.

"Forum UNAOC ke-7 pada tahun ini bertemakan 'Living Together in Inclusive Societies: A Challenge and A Goal akan dihadiri pemimpin, wakil organisasi serantau dan antarabangsa, sektor swasta, masyarakat madani, akademik, belia, seni dan media serta agensi dan yayasan penderma.

"Ia bagi mempelopori usaha-usaha baru dalam mempromosikan dialog antara budaya serta menangani cabaran-cabaran global seperti keganasan ekstremisme, radikalisasi dan sikap tidak toleran terhadap agama," jelas kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, forum itu terdiri daripada beberapa sesi plenari dan breakout sessions serta program-program belia, majlis penganugerahan dan sesi networking.

"Anifah turut dijadualkan untuk menyampaikan ucapan berdasarkan tema Forum di Mesyuarat Group of Friends di peringkat Menteri pada 26 April.

"Antara hasil-hasil forum adalah Deklarasi Baku mengenai kepentingan hidup bersama dalam masyarakat yang inklusif yang bakal diterima pakai oleh negara-negara ahli dan pelancaran UNAOC Advisory Council," jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu jelas kenyataan itu, UNAOC sentiasa bekerjasama dengan pelbagai organisasi bertujuan untuk mengurangkan ketegangan antara budaya berbeza.

"Kerjasama itu termasuk dari kerajaan-kerajaan, organisasi antarabangsa dan serantau, kumpulan masyarakat madani, yayasan dan sektor swasta yang telah menyokong projek-projek dan inisiatif serta membina jaringan persefahaman antara pelbagai komuniti," jelas kenyataan itu.