Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama tidak akan menghadiri upacara pengkebumian legenda tinju, Muhammad Ali kerana ia serentak dengan majlis graduasi anak perempuan sulungnya.

"Mereka akan menghadiri majlis graduasi sekolah tinggi Malia di Washington DC," kata jurucakap White House, Jen Friedman.

Bagaimanapun, seorang wakil rapat akan membacakan surat daripada Presiden Obama dan isterinya sebagai sebahagian daripada majlis itu yang akan diadakan di Louisville. Kentucky pada Jumaat ini.

BACA: Legenda tinju Muhammad Ali meninggal dunia

Sementara itu, ramai tetamu dijangka mengunjungi bandar Louisville bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Datuk Bandar Louisville, Greg Fischer berkata, persiapan kini giat dilakukan, khususnya daripada segi logistik bagi memastikan majlis berkenaan berjalan lancar dan tidak terganggu dengan jangkaan kehadiran ramai tetamu.

Majlis penghormatan terakhir dan pengkebumian Muhammad Ali pada Jumaat dijangka dihadiri puluhan ribu tetamu, termasuk pembesar, pemimpin politik dan selebriti dari seluruh dunia.

Sebagai menghormati Muhammad Ali, bendera turut dikibarkan separuh tiang.