Seorang pelajar perempuan sebuah sekolah ternama di bandar Kolkata, India yang ditemui di tandas dengan kesan kelaran di pergelangan tangan dan beg plastik diselungkup di kepala, meninggal dunia pada Jumaat.

Pelajar Kelas 10 (sekitar 15-16 tahun) itu meninggal dunia selepas dikejarkan ke hospital sejurus ditemui, lapor media tempatan negara itu.

Lebih menyedihkan apabila nota bunuh diri turut ditemui di sisi pelajar yang dikategorikan sebagai antara pelajar cemerlang di sekolah itu.

Siasatan polis kini sedang giat dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian.

Meskipun hasil siasatan awal menjurus kepada kejadian bunuh diri, namun pihak penyiasat polis Kolkata tidak menolak kemungkinan berlaku pembunuhan dan beberapa kemungkinan lain.

Menurut sumber, pelajar terbabit telah pergi ke tandas sekitar 1.40 petang dan selepas 20 minit tidak kembali, rakan-rakannya mula mencarinya.

Mangsa ditemukan tidak sedarkan diri dan berdarah dalam tandas dengan kesan kelaran di pergelangan tangan kiri.

Bungkusan plastik itu bermungkinan digunakan bagi mengelakkan orang ramai dari mendengar jeritannya apabila menahan sakit.

Kejadian itu telah menggemparkan seluruh bandar Kolkata.

Ramai yang mempersoalkan keberkesanan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) yang digunakan di sekolah selain tandas yang pada kebiasaannya sering diperiksa oleh pencuci. - Agensi