Lima orang sudah disahkan maut manakala 40 lagi cedera di London selepas sebuah kereta merempuh pejalan kaki dan penyerang menikam seorang anggota polis yang sedang berada dekat dengan bangunan Parlimen Britain.

Angka kematian itu adalah termausk suspek itu sendiri serta polis tersebut. Tiga lagi mangsa adalah dalam kalangan mereka yang dirempuh kereta berkenaan di Jambatan Westminster sebelum melanggar susur penghadang di luar bangunan Parlimen.

Perdana Menteri Theresa May mengutuk serangan itu dan menyifatkannya sebagai 'memualkan dan keji'.

"Lokasi serangan ini bukan kebetulan. Pengganas ini memilih untuk melakukan srangan di tengah-tengah ibu negara, di mana orang ramai dari pelbagai warganegara, agama dan budaya bersama-sama meraikan nilai-nilai kebebasan dan demokrasi.

"Sebarang percubaan untuk mengalahkan nilai-nilai itu menggunakan keganasan adalah 'ditakdirkan untuk gagal," ujar May dalam sebuah kenyataan di luar pejabat 10 Downing Street pada sebelah malam.

Parlimen Britain juga bakal bersidang seperti biasa pada hari ini.

"Kita akan kembali bersama seperti biasa. Warga London dan warganegara lain dari seluruh dunia yang datang melawat bandar raya hebat ini akan bangkit dan menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

"Mereka akan menaiki kereta api, mereka akan keluar dari hotel, dan mereka akan berada di jalanan. Mereka akan teruskan kehidupan mereka. Dan kita semua akan bergerak ke hadapan bersama, tidak sesekali mengalah pada keganasan, dan tidak akan membenarkan suara-suara kebencian dan kejahatan memecahbelahkan kita," ujar May.