Sejumlah 19 individu yang dipercayai menjalankan sindiket penipuan atas talian di Malaysia, Singapura dan Hong Kong melibatkan wang bernilai lebih S$19 juta (RM57 juta) telah berjaya ditangkap.

Portal berita Channel NewsAsia melaporkan, unit penguatkuasaan undang-undang gabungan tiga negara telah melumpuhkan sindiket 'Love Scam' itu di Malaysia dari 19 hingga 21 Oktober, dengan tertangkapnya 15 wanita dan seorang lelaki yang kesemuanya warganegara Malaysia.

Turut ditangkap ialah dua lelaki Nigeria dan seorang wanita China.

Kesemua suspek yang berusia antara 29 hingga 60 tahun itu, dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 146 kes penipuan atas talian.

Di Singapura, dua wanita Malaysia berusia 40 dan 48 yang dipercayai pernah memindahkan penjenayah dalam sindiket itu, kini disoal siasat untuk membantu siasatan.

Beberapa telefon bimbit, komputer riba dan kad ATM juga dirampas dalam operasi berkenaan.

Lapan kes penipuan internet di Singapura melibatkan wang berjumlah sekurang-kurangnya S$450,000 (RM1.36 juta), berjaya diselesaikan sebagai hasil tangkapan operasi itu.

Pasukan Polis Republik Singapura, Polis Diraja Malaysia dan Pasukan Polis Hong Kong sejak awal tahun ini telah sama-sama berkongsi maklumat tentang sindiket tersebut.

Sementara itu Pengarah Hal Ehwal Komersial Polis Republik Singapura, David Chew mengucapkan terima kasih kepada pasukan polis Malaysia dan Hong Kong atas ‘sokongan kuat’ sepanjang operasi berkenaan.

“Hakikat mangsa-mangsa di Malaysia, Singapura dan Hong Kong terpedaya dengan sindiket itu menunjukkan bahawa rangkaian jenayah di sebalik helah penipuan tersebut sungguh rumit dan merentas negara.

“Untuk mengatasinya, agensi penguatkuasa antarabangsa juga harus bersatu,” ujarnya.