PENYANYI rap popular Amerika Syarikat, Nicki Minaj bakal membuat persembahan di Arab Saudi.

Penyanyi itu dikhabarkan akan menjadi penghibur barisan depan di Jeddah World Festival, yang akan berlangsung di Stadium Sukan Raja Abdullah di kota laut merah itu.

Lapor portal hiburan Barat, kerajaan Arab Saudi pada Rabu berkata bintang itu akan tampil membuat persembahan di negara konservatif dan terkenal dengan pengekangan elemen hiburan sejak beberapa dekad lalu.

Minaj terkenal dengan gaya provokatif yang sering memaparkan imej seksi dan kebanyakan lagu hitsnya seperti Anaconda, Super Bass serta Starships sering menunjukkan bentuk tubuhnya.

Malah, lirik lagunya juga seringkali berbaur lucah serta kasar.

Menurut penganjur, Minaj pasti akan menjadi tumpuan utama di Jeddah World Fest pada 18 Julai.

Bagaimanapun, konsert itu dikhabarkan akan diselaraskan dengan undang-undang Arab Saudi iaitu bebas alkohol dan dadah serta terbuka kepada orang ramai berusia 16 tahun ke atas sahaja.

Berita penyertaan Minaj dalam festival itu turut mendapat pelbagai reaksi di media sosial dengan ramai yang menyatakan rasa terkejut, kritikan serta kekecewaan terhadap tindakan kerajaan Arab Saudi itu.

Malah, ada segelintir pihak yang cuba memprovokasi isu itu dengan membuat ilustrasi lukisan di laman Twitter, menuduh kerajaan Arab yang bersifat hipokrit dalam menjemput Minaj sebagai tumpuan festival itu tetapi menggesa wanita yang hadir ke konsert tersebut dengan memakai jubah dan abaya.

Penganjur Arab Saudi berkata konsert itu akan disiarkan secara global dan turut mendapat liputan oleh stesen televisyen berbayar, MTV.

Kerajaan negara itu juga menjanjikan visa elektronik yang cepat dan mudah untuk pengunjung antarabangsa yang ingin hadir.

Sebelum ini, kerajaan Arab Saudi pernah membawa persembahan artis antarabangsa seperti Mariah Carey, Enrique Iglesias, Black Eyed Peas, Sean Paul, DJ David Guetta dan Tiesto.

Antara artis lain yang akan membuat persembahan itu nanti ialah artis British, Liam Payne dan DJ Amerika Steve Aoki.