SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.


1. Penjara jika ingkar Perintah Kawalan Pergerakan

Individu degil yang melanggar arahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa dari 18 hingga 31 Mac, untuk mencegah penularan jangkitan COVID-19, berdepan hukuman penjara atau denda.

Pengamal undang-undang berpendapat bahawa jika pendekatan lebih lembut tidak dapat menjamin pematuhan sepenuhnya, pihak polis boleh menahan dan mendakwa mereka di mahkamah.

Sementara itu, seorang mekanik kereta menjadi individu pertama didakwa atas kesalahan membabitkan PKP.

Mekanik, S. Punniamurthy, 33, dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau penjara 10 bulan setelah mengaku salah menghalang tugas penjawat awam yang membuat pemantauan Op COVID-19.

Dalam perkembangan sama, kira-kira tiga juta rakyat Malaysia didapati masih ingkar tidak mematuhi PKP.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang, angka itu merupakan jumlah yang besar dan perlu ditangani segera.

ATM akan menggunakan teknologi dron dan pesawat tanpa pemandu (UAV) bagi memantau pelaksanaan PKP.

Dalam pada itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tahap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencapai kadar 92 peratus pada Isnin.

Sebanyak 120,615 kenderaan diperiksa dan pemandu dinasihati untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.




Berita-berita berkaitan:

- Perintah Kawalan Pergerakan: Kanak-kanak enam tahun tampil nasihat orang ramai

- Pekerja wajib tunjuk surat kebenaran pergerakan ketika sekatan - Ismail Sabri

- Jangan salah guna surat sokongan pengecualian PKP!

- Operasi pengangkutan awam 6 -10 pagi, 5 petang-10 malam - Ismail Sabri



2. Pencarum KWSP dibenar keluar RM500 sebulan

Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenar mengeluarkan maksimum RM500 sebulan selama 12 bulan bagi meringankan beban kos sara hidup akibat impak wabak COVID-19, kata perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli KWSP boleh membuat permohonan pengeluaran i-Lestari daripada Akaun 2 bermula 1 April 2020.

Proses pendaftaran akan bermula pada tarikh sama melalui kaedah e-mel dan juga pos.

Ahli dijangka menerima wang pengeluaran tersebut melalui akaun bank masing-masing pada 1 Mei 2020.

KWSP dalam pada itu memaklumkan laman web semakan yang tular di media sosial bukan miliknya atau mana-mana agensi kerajaan.



3. Topeng muka, ujian percuma

Kerajaan memutuskan untuk mengagihkan topeng muka secara percuma kepada rakyat Malaysia yang memerlukan, kata perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, langkah mengimport itu diperlukan selagi tahap bekalan topeng muka oleh pengeluar tempatan di negara ini tidak mencapai tahap yang memuaskan, dan tidak memenuhi keperluan domestik negara ini.

Sementara itu, warga asing yang tampil melakukan pemeriksaan atau ujian COVID-19 di klinik dan hospital awam tidak akan dikenakan sebarang bayaran.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan itu selari dengan Pekeliling Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dikeluarkan pada 29 Jan lepas.



4. Sumbangan korporat

Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) telah memberi sumbangan bernilai kira-kira RM60 juta dalam bentuk perubatan, peralatan perubatan serta peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz berkata sektor korporat turut disarankan untuk mengikuti teladan GLC kerana semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan negara kita berjaya menangani wabak COVID-19.

Sementara itu, Rangkaian Tindak Balas Bencana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) atau GDRN mengumpul dana berjumlah RM40 juta bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani wabak COVID-19, setakat ini.

Menurut Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Shahira Ahmed Bazari daripada jumlah itu RM17 juta akan diperuntukkan khusus untuk pembelian bekalan perubatan termasuk alat pelindung diri (PPE) bagi memenuhi keperluan KKM serta hospital awam dan institusi.

Petronas menyumbangkan peralatan perubatan bernilai RM20 juta kepada hospital yang diwartakan bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Kementerian Kesihatan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menyalurkan peralatan dan bekalan perubatan kritikal itu kepada hospital terbabit termasuk pusat kuarantin.

Dalam pada itu, KKM memaklumkan telah berjaya memperolehi stok bekalan peralatan perlindungan peribadi (PPE) sebanyak 33 juta unit yang dapat menampung penggunaan di semua fasiliti kesihatan dan akan diedarkan dalam minggu ini.

Selain itu, kerajaan juga telah menerima sumbangan bekalan PPE daripada pelbagai pihak dan sejumlah tiga juta unit PPE sedang diagihkan ke fasiliti-fasiliti kesihatan mengikut keperluan

KKM juga akan diberi peruntukan tambahan RM500 juta bagi membiayai pembelian peralatan perubatan, dalam usaha menangani impak wabak COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan juga akan menyalurkan peruntukan RM100 juta khusus untuk pelantikan 2,000 kakitangan baharu KKM secara kontrak.


5. Polis tawar diskaun 50 peratus saman

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan kadar diskaun 50 peratus bagi saman-saman tertentu bermula 25 hingga 29 Mac ini bersempena dengan Hari Polis ke-213.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, pihaknya akan melancarkan kempen pembayaran secara dalam talian (e-Payment) selama lima hari tersebut.