Sepasang kekasih bakal berdepan hukuman gantung sampai mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki tiga minggu lepas.

Tertuduh, Nurul Haslina Abu Hassan, 38, yang juga merupakan isteri mangsa dan kekasihnya, Zulasri Shaarani, 42, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh masing-masing merupakan seorang ahli perniagaan wanita dan pembantu perubatan di Hospital Gerik.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama membunuh Kamarulzaman Safri, 38, di kawasan ladang Sungai Rui, Bagan Pasir, Lebuhraya Gerik-Kupang di sini antara pukul 2 hingga 3 petang 7 April lalu.

Mereka berdua didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azfar Mahmod manakala peguam bela Datuk Naran Singh mewakili Nurul Haslina.

Manakala Zulasri pula tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan 24 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan asid deoksiribonukleik (DNA), kimia dan balistik.

Pada 16 April lepas Astro AWANI melaporkan, misteri kematian seorang lelaki yang ditemui dengan tiga kesan tembakan di Ladang Sungai Rui di sini terjawab apabila ia dipercayai berpunca daripada cinta tiga segi sehingga menyebabkan pergaduhan antara suspek dan mangsa.

Kejadian bermotifkan cemburu itu terbongkar selepas polis menahan seorang penjawat awam dan teman wanitanya serta seorang lelaki lain di sekitar Gerik.