Bagan Datuk bakal menjadi hub automotif baharu selepas dua syarikat automotif, termasuk dari China kini dalam perancangan melabur di daerah Perak berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sebuah syarikat China telah menyatakan hasrat untuk membuka kilang pemasangan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) bagi pasaran eksport dan memerlukan tanah seluas 40 hektar bagi tujuan itu.

Beliau berkata, syarikat automotif dari negara Tembok Besar itu akan bekerjasama dengan sebuah syarikat swasta tempatan untuk mendirikan kilang berdekatan muara Sungai Bernam di Hutan Melintang di sini.

"Apabila kilang itu siap kelak, saya difahamkan akan ada 2,000 peluang pekerjaan baharu diwujudkan dan saya telah meminta anak-anak Bagan Datuk diberi keutamaan bagi pekerjaan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Malaysia Automotive Industry (MAI) Auto Festival di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang di sini pada Sabtu.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Malaysia Automotive Industry (MAI) merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Sebelum ini, sebuah syarikat automotif tempatan Tan Chong Motor telah menyatakan persetujuan dan kini di peringkat akhir menempatkan hab pemasangan kenderaan syarikat itu di Bagan Datuk yang dijangka mewujudkan kira-kira 4,000 peluang pekerjaan di daerah itu.

Mengulas selanjutnya, Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk, optimis dengan kemampuan kerajaan negeri Perak untuk bertindak secara proaktif membawa lebih banyak pelabur luar negara.

Justeru, beliau menyokong supaya usaha Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) turut diperluaskan sehingga ke Bagan Datuk.

Jelasnya, ini penting kerana dapat mengelak Bagan Datuk daripada tercicir berikutan kepentingan kedudukan sektor automotif terhadap negara dengan menyumbang lebih kurang 3.6 peratus atau RM40 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Malah, kerajaan turut menyasarkan sumbangan itu meningkat kepada 10 peratus pada 2020, kata beliau.

Timbalan Perdana Menteri turut menyifatkan pembukaan kilang-kilang automotif itu sebagai bertepatan berikutan kewujudan dua fakulti Kejuruteraan Automotif dan Kejuruteraan Marin di Politeknik Bagan Datuk yang berperanan menyediakan tenaga mahir.

Mengulas kenderaan EEV, Ahmad Zahid berkata kenderaan tersebut yang didaftarkan di negara ini adalah melebihi 50 peratus, sekali gus mencerminkan potensi EEV yang amat cerah selain membantu pengembangan sektor automotif tempatan.

"Pada hari ini, sektor automotif dijayakan oleh 27 pengeluar jenama kenderaan merangkumi jenama nasional dan antarabangsa. Kita ada sebanyak 641 pengeluar tempatan selain 53,000 pengedar, penjual dan pusat servis serta lebih 700,000 pekerja," katanya.

MAI Auto Festival di Bagan Datuk adalah pameran siri jelajah yang kelima sebelum bermulanya acara mega Malaysia Autoshow 2018 di MAEPS, Serdang pada 26 April ini.

Ini merupakan antara usaha kerajaan meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap kenderaan EEV di negara ini .

-- BERNAMA