Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik peruntukan yang dibentangkan menerusi Belanjawan 2019 yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun, PDRM mendapat manfaat melalui 24 projek kerjasama awam swasta (PPP) berasaskan tender terbuka seperti sekolah, kem tentera, balai polis dan bomba serta rumah mampu milik yang keseluruhannya bernilai RM 5.3 bilion.

“Sehubungan itu, PDRM mengucapkan terima kasih kepada kerajaan terhadap peruntukan tersebut yang memberikan manfaat kepada lebih 130,000 warga PDRM.

“PDRM mengoptimumkan penggunaan segala peruntukan yang diberikan agar kualiti perkhidmatan kepada masyarakat tidak terjejas selaras saranan kerajaan tentang perbelanjaan berhemah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Manfaat lain yang turut diperoleh PDRM adalah bayaran khas sebanyak RM500 secara one-off kepada pesara berkelayakan selain kemudahan cuti tanpa rekod selama tujuh hari bagi penjawat awam yang bukan beragama Islam untuk tujuan keagamaan.

“Peruntukan sebanyak RM5.9 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri bagi mempertingkatkan keselamatan negara.

“Selain itu, peruntukan sebanyak RM1.5 bilion untuk membina dan menyiapkan rumah mampu milik bagi Program Perumahan Rakyat, Perumahan Penjawat Awam Malaysia dan perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) dan Syarikat Perumahan Nasional Berhad demi memastikan bekalan rumah mencukupi,” tambahnya.

Dalam pada itu, kerajaan juga memperuntukkan RM400 juta untuk menyelenggara dan membaik pulih kuaters kerajaan yang dikenal pasti bagi memastikan kesejahteraan penjawat awam.