Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mencadangkan supaya penyiasatan kebakaran forensik dijadikan sebagai kursus pengajian di peringkat universiti tempatan, kata Ketua Pengarahnya, Mohammad Hamdan Wahid.

Beliau berkata, ini kerana siasatan forensik kebakaran yang dilakukan secara saintifik kini sudah menjadi satu keperluan dalam industri insurans serta membantu penaksir menyiasat dan menyelaraskan tuntuntan insurans kepada syarikat.

Katanya, setakat ini, sudah ada program pengajian kejuruteraan keselamatan kebakaran di Univestiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan salah satu subjeknya ialah tentang siasatan kebakaran.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pentauliahan 35 pelajar kumpulan pertama Kor Siswa Bomba Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di USIM di sini, pada Isnin.

Turut hadir ialah Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad.

Mohammad Hamdan berkata, JBPM mempunyai 10 buah makmal forensik kebakaran di seluruh negara termasuk sebuah khusus untuk punca elektrik di Shah Alam, Selangor serta 361 pegawai forensik yang mendapat latihan di Institution of Arson and Fire Investigation (IAFI) di Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, katanya, setakat ini hanya USIM dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor, sahaja yang menawarkan kursus Kor Siswa Bomba dan pihaknya akan menambah penyertaan Kor Siswa Bomba di universiti tempatan lain.

Pada majlis itu, seramai enam orang pengurusan USIM diketuai Musa turut dilantik sebagai Pegawai Bomba (Kehormat) USIM.

-- BERNAMA