Malaysia mencatatkan lima lagi kes kematian melibatkan COVID-19 dengan 170 kes baharu telah dilaporkan setakat 14 April 2020 pukul 12:00 tengah hari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 82 kes atau 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Pada masa sama, 202 kes positif COVID-19 telah pulih dan telah dibenarkan keluar hospital.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 202 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 2,478 kes (49.7 peratus, iaitu hampir separuh daripada jumlah keseluruhan kes). Hari ini juga, bilangan kes yang didiscaj adalah melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan.

"Sehingga 14 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 170 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 4,987 kes. Oleh itu, setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,427 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Sehingga kini, seramai 60 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah tersebut, 33 kes memerlukan bantuan pernafasan.


Kes kematian ke-78 (kes ke-4532) merupakan lelaki dewasa tanpa identiti diri dan dipercayai bukan warganegara yang ditemui mati di Kota Kinabalu, Sabah pada 6 April 2020. Keputusan ujian sampel COVID-19 yang diambil semasa bedah siasat didapati positif pada 11 April 2020. Kes ini di bawah siasatan pihak Polis Diraja Malaysia.

BACA: Mayat ditemui tergantung di Pulau Gaya positif COVID-19

Kes kematian ke-79 (kes ke-2052) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 65 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 27 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 14 April 2020 jam 5.17 pagi.

Kes kematian ke-80 (kes ke-4818) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung dan penyakit buah pinggang. Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 7 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 12 April 2020 jam 11.36 malam.

Kes kematian ke-81 (kes ke-4521) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 74 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit buah pinggang. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19, iaitu kes ke-4088 yang telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling. Beliau telah dirawat di Hospital Melaka pada 9 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 13 April 2020 jam 4.20 petang.

Kes kematian ke-82 (kes ke-1649) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 81 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19, iaitu kes ke-343 yang telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling. Beliau telah dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 26 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 14
April 2020 jam 11.50 pagi.