Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengesahkan satu lagi kluster baharu membabitkan pusat jagaan warga emas Kuala Selangor dikesan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tersebut telah menjangkiti tiga individu.

Daripada jumlah kes tersebut, jelas beliau dua kes dikenal pasti pada 17 Mei lalu hasil saringan pusat penjagaan warga emas.

“Pada ketika ini, seramai 12 kakitangan dan 26 penghuni (pusat jagaan) tersebut telah disaring.

“Keputusan kesemua kakitangan dan 24 penghuni yang lain adalah negatif.

“Setelah hampir sebulan kemudian, kes ketiga ini pula didapati positif COVID-19 daripada saringan Severe Acute Respiratory IIlness (SARI) apabila dimasukkan ke wad Hospital Tanjung Karang pada 13 Jun 2020. Ini merupakan saringan kali kedua bagi beliau (negatif pada saringan kali pertama semasa saringan pusat penjagaan warga emas),” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Isnin.

Jelas Dr Noor Hisham, pengesanan kes secara aktif sedang dijalankan dan langkah-langkah pencegahan turut diambil termasuk nyah kuman dan nyah cemar.