Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes pembelian hotel di London dan Kuching oleh Felda Investment Corporation (FIC) membantu mempercepatkan proses pembersihan dan pembaharuan dalam pengukuhan integriti dan tadbir urus Felda, kata Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Beliau berkata pihaknya terbuka dan sedia memberi kerjasama penuh dalam kes anak syarikat Felda berkenaan tanpa mengira jawatan individu yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.

"Terpulang kepada SPRM siapa sahaja hendak dipanggil dan kita menggalakkan supaya penyiasatan terhadap FIC atau Felda dilakukan secara menyeluruh," katanya mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Mohd Azam Baki semalam bahawa seorang individu penting akan dipanggil selewat-lewatnya minggu depan berhubung siasatan kes pembelian dua hotel itu.

Setakat ini, sembilan individu sudah ditahan reman manakala lebih 30 saksi dipanggil berhubung isu pembelian kedua-dua hotel itu.

Bercakap kepada media selepas melancarkan Lake Cempaka Villa, venue baharu penganjuran acara milik Felda D'Saji di sini hari ini, Shahrir berkata beliau bertekad untuk memastikan Felda diurus tadbir dengan integriti yang tinggi dan fokus kepada kebajikan peneroka.

Mengenai Lake Cempaka Villa, Shahrir berkata pembukaan cawangan ke-14 venue restoran dan penganjuran acara itu merupakan pelaburan terbaik Koperasi Permodalan Felda melalui D'Saji berdasarkan permintaan yang baik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif D'Saji Ahmad Zaki Abdullah berkata Lake Cempaka Villa yang beroperasi akhir bulan lepas menerima sambutan menggalakkan apabila pihaknya telah menerima 10 tempahan majlis perkahwinan dan enam acara oleh syarikat korporat.

Beliau berkata Lake Cempaka Villa merupakan pejabat pengurusan Taman Tasik Cempaka milik Majlis Daerah Hulu Langat yang dibangunkan semula dengan kos sebanyak RM600,000.

Berlatar belakangkan pemandangan tasik, Lake Cempaka Villa berkonsep terbuka dan bilik berhawa dingin dengan kapasiti 380 tempat duduk dan mampu menampung sehingga 2,000 tetamu secara bufet menawarkan suasana santai kepada pengunjung.

Selain venue pelbagai majlis, Lake Cempaka Villa juga menawarkan khidmat restoran Melayu asli untuk makan tengah hari dari Isnin hingga Khamis dan BBQ Steamboat pada sebelah malam dengan harga berpatutan.

Ahmad Zaki berkata D'Saji merancang untuk membesarkan venue itu dan membuka cawangan ke-15 di Putrajaya dalam masa terdekat.-- BERNAMA