Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan sembilan orang termasuk seorang remaja perempuan yang aktif menyamun pemandu Grab di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata tangkapan tersebut susulan laporan seorang pemandu Grab yang disamun oleh tiga lelaki pada 20 September lalu.

"Pada jam 3.50 pagi seorang pemandu Grab membawa tiga lelaki menuju ke Taman Bakti, Ampang. Apabila tiba di tempat kejadian seorang daripada mereka mengacukan sebilah pisau pemotong sayur ke leher.

"Pemandu tersebut diminta oleh suspek untuk menyerahkan semua barangan berharga dan dia mengalami kerugian barangan peribadi, dokumen dan wang ringgit," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata susulan daripada kejadian dan siasatan oleh pihak polis membawa kepada penangkapan ke atas tujuh suspek berusia 15 hingga 43 tahun di Batu Caves pada jam 2.30 pagi, Khamis lepas.

"Seterusnya, berdasarkan maklumat kes yang sama, polis berjaya menahan dua lagi suspek yang terlibat di ibu negara, dan turut merampas beberapa barangan kes," jelasnya.

Hamzah berkata kesemua mereka dipercayai aktif menyamun pemandu Grab dan terlibat dalam sekurang-kurangnya enam kes samun di kawasan Ampang, Selayang dan Chow Kit.

Kesemua suspek direman sehingga 7 November depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.