Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sedang melakukan perubahan yang diperlukan bagi memenuhi keperluan orang kelainan upaya (OKU) di bandar raya ini.

Mengakui bahawa bandar raya ini tidak bersifat mesra OKU, majlis itu mengambil inisiatif untuk mendidik orang ramai, di samping melaksankan penguatkuasaan secara tegas terhadap mereka yang menyalahgunakan tempat atau kemudahan yang dikhususkan untuk golongan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Negeri, Chow Kon Yeow berkata usaha itu mengandungi tiga fasa iaitu pendidikan, kejuruteraan dan penguatkuasaan.

"Mula-mula, kami perlu didik orang ramai agar mereka lebih faham, tapi sekiranya pendidikan tidak memberi kesan, kami tidak ada pilihan, selain mengambil tindakan tegas," katanya selepas melancarkan kempen kesedaran tentang OKU di Lebuh Pantai, di sini hari ini.

Dari Januari hingga Mei tahun ini, 243 kesalahan menyalahguna ruang letak kereta untuk OKU dilaporkan dan daripada jumlah itu, 40 kenderaan dikunci dan sembilan ditunda oleh MBPP.

Kini terdapat lebih 50 ruang letak kereta yang dikhususkan untuk OKU di bandar raya ini dan MBPP berjanji untuk menambah jumlahnya dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Chow berharap debat antara Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri, Lim Hock Seng dan setiausaha agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng akan menghapuskan kekeliruan orang ramai tentang kajian kebolehlaksanaan cadangan projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya ekspres.

"Saya harap, selepas debat ini diadakan, orang ramai akan faham kenapa kerajaan negeri ingin membina tiga lebuh raya dan terowong itu, iaitu untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini," katanya.